DI tengah-tengah perpecahan politik dalam PRU14, Malaysian Decides memfokuskan apa yang diperjuangkan oleh calon Parlimen dan apakah masalah negara yang paling mendesak bagi mereka. Kami bertanyakan lima soalan mengenai peranan mereka sebagai ahli Parlimen sekiranya dipilih.
Calon Barisan Nasional Bagan, Michael Lee Beng hanya berusia 36 tahun, hampir dua dekad lebih muda daripada pencabarnya, calon Pakatan Harapan Lim Guan Eng, yang juga ketua menteri sementara Pulau Pinang. Calon lain yang turut bertanding dalam pertembungan empat penjuru di kerusi itu adalah dari Parti Cinta Malaysia dan Malaysia United Party (MUP).
Lee yang merupakan ahli perniagaan merupakan ketua Pemuda MCA Pulau Pinang dan merupakan kali pertama bertanding. Lee turut berdepan dengan tugas yang mencabar untuk memenangi undi daripada lebih 71,500 pengundi di kawasan berkenaan. Kerusi itu menjadi milik DAP dari tujuh penggal lalu sejak 1986. Namun katanya, di sesetengah kawasan, penerimaan pengundi terhadap BN amat menggalakkan.
Q; Apa yang akan anda perjuangkan di Parlimen ini?
Lee: Sekiranya saya dipilih, saya akan sedaya upaya memastikan kemajuan yang berterusan di kawasan ini dari segi pendidikan dan ekonomi. Saya akan perjuangkan untk mengekalkan kestabilan dan keharmonian.
Q: Apakah tiga masalah utama yang sedang dihadapi negara?
Lee: Saya rasa Malaysia sebagai sebuah negara dalam keadaan yang baik. Mungkin senario politik menjadi isu. Adakalanya terlalu banyak kebencian daripada pihak pembangkang…Kita lihat pelbagai serangan peribadi. Itu tidak baik untuk negara dan ia menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi muda.
Berita palsu yang tersebar di media sosial juag satu masalah, Ia menjadikan fitnah satu kebiasaan. Kita mengamalkan demokrasi tetapi berita palsu boleh menjadi ancaman. Ia menyebabkan masalah yang tidak perlu kepada rakyat.
Q: Apakah penyelesaiannya?
Lee: Untuk mengekang berita palsu, kita sudahpun mempunyai undang-undang. Dan pada saya ia satu langkah yang baik.
Q: Bagaimana dengan keadaan negara kini?
Lee: Malaysia dilihat terus berkembang. KDNK kita (keluaran dalam negara kasar) masih berkembang dalam beberapa tahun ini walaupun keadaan ekonomi dunia tidak berapa bagus. Perdana menteri berusaha keras untuk membina dan memperkukuhkan hubungan dua hala dengan negara lain untuk perkembangan perniagaan dan perdagangan.
Q: Mengapa pengundi perlu memilih anda?
Lee: Saya bekerja dengan pasukan orang muda dalam kempen untuk Bagan. Kami mahu peluang untuk berkhidmat dan membantu masyarakat tempatan. Kami turun padang dan mendengar masalah yang dihadapi mereka seperti banjir dan kekurangan peluang pekerjaan. Kami menyenaraikan masalah yang dihadapi penduduk Bagan. Kami berjanji akan menyelesaikannya sekiranya BN menang kerusi ini.
Untuk Bagan, saya juga mahu meningkatkan potensi pelancongan dan menjadikan ia sebagai lokasi tumpuan pelancong. Kita memiliki banyak tarikan di sini seperti makanan tempatan dan kuil. Kita boleh menarik pelancong China. Kita boleh sertakan Bagan dalam insiatif One Belt, One Road. Malaysia sudahpun mempunyai ikatan perdagangan yang baik dengan China. Saya percaya pembangunan pelancongan di Bagan memberi peluang yang baik kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan ini.– 29 April, 2018.
Komen