LAWATAN perdana menteri sementara Najib Razak ke kem tentera Batu 10, Kuantan disambut meriah.
Anggota tentera dijamu makan tengah hari bersama Najib dan isterinya selepas mengadakan taklimat secara tertutup.
Antara perkara yang disentuh Najib semasa taklimat tersebut adalah mengenai kesetiaan terhadap pemimpin dan peringatan agar tidak termakan berita palsu yang disebarkan pembangkang.
Selain itu, terdapat juga acara “Jualan Sentuhan Rakyat” di mana keperluan harian dijual dengan harga serendah-rendahnya.
Setin sardin dijual dengan harga 20 sen, beras 5kg dijual pada harga RM10.99 manakala minyak masak 1kg dijual dengan harga RM2.39.
Turut dijual adalah mee segera, susu tepung, bahan pencuci dan berus gigi.
Keluarga tentera juga dihadiahkan buku latihan untuk anak-anak mereka yang berumur dari tujuh tahun hingga 12 tahun.
Seorang anggota tentera yang enggan dikenali memuji Najib kerana menjaga kebajikan tentera sejak memimpin negara.
“Telah banyak yang beliau telah lakukan untuk kami. Beliau juga menjaga (kebajikan) kami dan keluarga kami,” katanya.
Seorang lagi anggota tentera bagaimanapun merasa tertekan dengan kos sara hidup.
“Harga barang sangat mahal. Kami anggota tentera sendiri merasa sukar. Acara seperti ini membantu meringankan beban kami,” katanya.
Kem ini terletak di kawasan Parlimen Pekan, yang bakal dipertahankan Najib menerusi pertandingan empat penjuru melibatkan calon PAS, PKR dan bebas. – 29 April, 2018.
Komen