Ini peluang terakhir jatuhkan BN, kata Pakatan


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan (PH) merayu pengundi supaya keluar mengundi pada 9 Mei ini - yang kini dirujuk sebagai 509.

Di samping ligat mengetengahkan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, skandal 1MDB dan janji-janji pilihanraya, para pemimpin PH merayu pengundi keluar beramai-ramai untuk membuang undi pada hari tersebut.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melalui ceramah mega di Bagan, Pulau Pinang semalam berkata jumlah keluar mengundi yang rendah boleh menyebabkan PH kalah pada pilihan raya kali ini.

“Keluarlah mengundi pada 9 Mei ini. Kalau tidak, Barisan Nasional dan (perdana menteri sementara) Najib Razak akan kekal di Putrajaya,” kata Lim, yang juga Timbalan Presiden PH serta ketua menteri sementara Pulau Pinang.

“Terus terang, inilah peluang terakhir kita. Selepas 61 tahun, jangan kita lepaskan peluang ini atau kita terpaksa tunggu selama 61 tahun lagi.

“Saya tak boleh tunggu. (Pengerusi PH) Dr Mahathir Mohamad juga tak boleh tunggu,” katanya, merujuk kepada bekas perdana menteri berusia 92 tahun yang kini memimpin pembangkang.

Anak perempuan Dr Mahathir, Marina Mahathir, yang juga berucap pada ceramah itu turut menggesa rakyat keluar mengundi pada 9 Mei ini.

“Beritahu semua rakan anda. Kita perlukan jumlah keluar mengundi yang tinggi, supaya kita boleh halang penipuan pada hari mengundi.”

Hari mengundi jatuh pada hari Rabu. Meskipun hari itu diisytiharkan sebagai cuti umum, ia dijangka akan memberi banyak masalah kepada ramai pengundi yang berada di luar kawasan untuk balik mengundi.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, jika pengundi di seluruh Malaysia, iaitu dari Perlis hingga ke Sabah keluar mengundi pada 9 Mei ini, impian dan harapan rakyat bagi sebuah kerajaan baharu yang menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang pasti tercapai. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen