Penganalisis percaya PAS tiada peluang rampas Kedah 


The Malaysian Insight

PENGANALISIS berpendapat, PAS tidak berpeluang untuk memenangi Kedah dalam pilihan raya kali ini kerana persaingan utama di negeri itu hanya melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik dan pensyarah dasar awam Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali menegaskan demikian walau berlaku pertembungan tiga penjuru di 13 kerus Parlimen dan 29 kerusi negeri.

Mazlan menjelaskan, walaupun PAS mempunyai sokongan besar di negeri jelapang padi itu, petanda awal menunjukkan persaingan di Kedah hanya akan melibatkan BN dan PH.

Beliau berkata, faktor utama adalah ketokohan pemimpin Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir.

“Sebelum perpecahan dalam Umno dan PAS, persaingan di kedah adalah di antara kedua-dua parti tersebut namun sekarang, parti serpihan Umno, Bersatu dipimpin oleh Mahathir. Beliau dan anaknya itu kedua-duanya orang Kedah.

“(Pengaruh) PAS hanya di atas kertas kerana walaupun dengan undi signifikan yang mereka masih perolehi, sukar bagi mereka untuk menang (Kedah) kerana kebanyakan undi yang diperolehi dalam (pilihan raya) 2013 sudah berpindah kepada PH dan begitu juga bagi bagi undi Umno, kebanyakannya berpindah kepada Bersatu,” kata Mazlan kepada Malaysia Decides.

Kedah merupakan negeri kelahiran Dr Mahathir dan calon pilihan raya paling tua itu juga bertanding di Langkawi, kawasan yang giat dibangunkannya semasa menjadi perdana menteri. 

Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan itu berdepan bekas anak buahnya dalam BN, Nawawi Ahmad yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 11,861 undi dalam pilihan raya umum 2013.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pengundi Umno di Kedah masih sayang kepada parti itu tetapi mereka juga menghormati Dr Mahathir yang merupakan tokoh berpengaruh, terutama di Langkawi.

“Orang Kedah kini berpecah disebabkan faktor pemimpin,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, selain langkah Pakatan Harapan mengemukakan ramai tokoh terkemuka untuk bertanding di kedua-dua kerusi parlimen dan negeri akan memberi kelebihan kepada gabungan parti pembangkang itu.

Beliau memberi contoh, langkah meletakkan Mukhriz untuk bertanding di kerusi parlimen Jerlun dan dan kerusi negeri Jitra, dan juga Johari Abdul untuk kerusi parlimen Sungai Petani dan kerusi negeri Gurun. 

“Kebanyakan calon BN adalah pemimpin tempatan dan strategi itu akan menarik khalayak tempatan namun Pakatan mempunyai calon nasional dan tempatan yang seimbang,” katanya. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen