Penduduk Iskandar Puteri ingin perubahan dasar, bukan wakil rakyat 'popular'


The Malaysian Insight

CALON Barisan Nasional (BN) di Iskandar Puteri mungkin mempunyai reputasi baik di kalangan akar umbi, tetapi kawasan Parlimen di sana tidak akan melihat perubahan jika kemenangan jatuh ke tangan perikatan tertua negara itu, kata pengundi.

Jason Teoh Sew Hock adalah ketua MCA Iskandar Puteri, parti Cina yang merupakan sebahagian daripada BN, yang memegang kuasa sejak 61 tahun lalu.

“Beliau mungkin dilihat sebagai orang yang banyak buat kerja di sini, tetapi tugas seorang wakil rakyat bukan membersihkan parit. Tugas mereka adalah untuk membuat perubahan di peringkat dasar. Dan untuk itu, saya akan memilih DAP,” kata Sam Chew, 64 tahun.

Beliau adalah antara 1,200 peserta yang hadir dalam program kempen DAP di Iskandar Puteri malam tadi.

Pada majlis itu sahaja, parti berjaya mengumpul RM12,000, yang akan disalurkan untuk kempen pilihan raya.

Calon DAP dan Amanah bagi kerusi Iskandar Puteri dan Kulai menghabiskan tiga jam bercakap mengenai isu yang dekat dengan hati rakyat.

“Satu-satunya pengangkutan awam yang ada di Johor ialah bas. Jika kita terlepas satu, kita perlu menunggu sejam lagi untuk bas berikutnya,” kata penyokong DAP, Terrance Tan, 52 tahun.

“Bagi perumahan, berapa ramai yang mampu membeli rumah di sini? Sebuah flat kecil atau pangsapuri akan menelan kos antara RM350,000 hingga RM400,000.

“Sudah tentu, rakyat Singapura mampu, tetapi bukan penduduk tempatan.”

Ahli poliik veteran daripada DAP, Lim Kit Siang menaiki pentas pada jam 11.30 malam. Dengan suara serak kerana ceramah tanpa henti yang diberikan sepanjang hari, berkata perubahan diperlukan bukan sahaja untuk kaum Cina, tetapi juga India dan Melayu.

“Ia berkaitan semua orang di Malaysia. Ia melibatkan kita,” katanya ketika bercakap mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dan kenaikan kos sara hidup.

Lim, yang merupakan calon PH bagi kerusi Iskandar Puteri, akan bertanding di bawah logo PKR.

Komponen PH, DAP, PKR, Amanah dan Bersatu bersetuju semua calon mereka akan menggunakan logo PKR pada PRU14, susulan pengumuman Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang Bersatu dibatalkan sementara kerana kegagalannya mengemukakan beberapa dokumen. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen