Pertandingan banyak penjuru untungkan BN, kata penganalisis


The Malaysian Insight

PERTEMBUNGAN lebih dua penjuru di 192 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia  atau 85% kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini dijangka akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik.

Dr Awang Azman Awang Pawi berkata pertembungan banyak penjuru di kebanyakan kerusi itu akan menyebabkan undi terpecah-pecah dan seterusnya memberi manfaat kepada BN.

“Semakin banyak pertembungan banyak penjuru semakin tinggi peluang BN untuk menang,” kata pensyarah di Jabatan Sosio Budaya, Universiti Malaya itu.

“Saya percaya BN lebih gusar atau risau apabila perlawanan dua penjuru berbanding lebih dua penjuru,” tambahnya.

Kajian terbaru Merdeka Center juga menunjukkan ada tanda-tanda pengundi Melayu akan menolak BN tetapi undi mereka akan berpecah antara Pakatan Harapan (PH) dan PAS. Kajian pada minggu pertama April itu dikeluarkan sehari sebelum penamaan calon.

Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 30 yang ditandingi satu lawan satu. Di peringkat negeri pula, daripada 505 kerusi yang dipertandingkan – kecuali Sarawak – hanya 40 yang direbut oleh dua calon.

Pertandingan tiga penjuru paling banyak dalam PRU14 ini melibatkan 151 kerusi Parlimen dan 343 kerusi negeri.

Enam kerusi Parlimen ditanding oleh lima calon manakala pertandingan enam penjuru berlaku di dua kerusi Parlimen iaitu Beluran dan Keningau di Sabah.

Pertandingan banyak penjuru ini turut melibatkan pemimpin utama parti bertanding. Pengerusi BN Najib Razak menghadapi cabaran tiga calon di Pekan, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad ditentang dua calon di Langkawi, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail disaingi empat calon di Pandan sementara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dicabar dua calon di Marang.

Pada PRU13, 132 kerusi Parlimen ditandingi secara langsung antara BN dan pembangkang yang ketika itu bergabung atas nama Pakatan Rakyat. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen