Ahli Bersatu bertanding atas tiket bebas akan dipecat


The Malaysian Insight

AHLI Bersatu yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan dipecat, kata Presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Menurut laporan Bernama, beliau dipetik berkata perkara itu telah dijelaskan dalam perlembagaan parti yang menyatakan bahawa ahli yang bertanding sebagai calon bebas tanpa kebenaran akan dipecat.

“Ini tak boleh dibenarkan berlaku, kerana mereka mengkhianati perjuangan parti dan melanggar disiplin,” kata Muhyiddin selepas ceramah di Bakri malam tadi.

“Lebih-lebih lagi mereka melakukan sesuatu yang menimbulkan masalah kepada parti komponen lain (dalam Pakatan Harapan).”

Beliau ditanya mengenai keputusan Naib Ketua Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi DUN Ayer Molek.

Kamarolzaman berkata keputusan itu dibuat selepas kecewa tidak dipilih sebagai calon Bersatu pada PRU14, seperti yang dijanjikan kepimpinan parti sebelum ini.

PH sebaliknya meletakkan calon PKR di kerusi yang terletak di bawah parlimen Hang Tuah Jaya.

Kamarolzaman menyerahkan borang penamaannya semalam di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka  (MITC) dan diumumkan sebagai salah seorang pesaing di Ayer Molek oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Beliau akan berdepan Rahman Mariman (Barisan Nasional), Jantan Abdullah (PAS) dan Farhan Ibrahim @ Alias (PKR). – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen