Muhyiddin minta SPR betulkan namanya di kertas undi


The Malaysian Insight

MUHYIDDIN Yassin mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan ejaan betul namanya pada kertas undi. 

Beliau hari ini berkata, SPR telah menyenaraikan namanya pada laman web sebagaimana yang tertulis pada MyKad beliau. 

“Nama saya pada ked pengenalan ialah Mahiaddin bin Md Yasin. Tetapi sudah bertahun saya menggunakan nama Muhyiddin Yassin, kerana nama itulah yang dikenali orang ramai, dan itulah nama yang saya tulis pada kertas undi.”

Namun kini presiden Bersatu itu bimbang suruhanjaya berkenaan akan menggunakan nama pada MyKadnya di kertas undi. 

“Saya mahu kesilapan ini dibetulkan sebelum mereka mencetak kertas undi. Saya tidak mahu pengundi keliru,” katanya selepas satu program di Bukit Gambir hari ini. 

“Sejak bertahun lalu saya dikenali dengan Muhyiddin Yassin, saya tertanya-tanya mengapa ia tidak digunakan pada laman web SPR. 

Beliau turut meminta wakilnya memaklumkan kepada SPR dan memohon untuk membetulkan kesilapan itu, dan sekiranya mereka tidak berbuat demikian, beliau akan mengemukakan aduan rasmi. 

Muhyiddin yang bertanding buat kali ke lapan di Pagoh, akan berdepan pertembungan tiga penjuru dengan calon BN Ismail Mohamed dan calon PAS Ahmad Nawfal. Pada 20113, beliau memenangi kerusi itu dengan 12,842 undi. 

Di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Gambir, beliau akan menentang penyandangnya A. Asojan dan calon PAS Mohfodz Mohamed. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen