Najib kata Dr Mahathir tiada pendirian, integriti


The Malaysian Insight

PERDANA menteri sementara Najib Razak berkata keputusan Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan bekas seterunya, Anwar Ibrahim menunjukkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tiada pendirian dan integriti.

Menerusi video yang dirakam ketika satu ceramah baru-baru ini, Najib berkata Dr Mahathir pernah mengkritik Anwar “menggunakan ayat yang beliau sendiri tidak sanggup untuk sebut”, tetapi kini kedua-duanya berbaik semula.

“Kita ta boleh pakai orang macam ni tuan-tuan. Kita kena ada pendirian dalam politik,” Najib berkata demikian dalam video yang dimuatnaik di akaun Twitter beliau.

“Menang kalah tak apa, asalkan kita ada nilai diri,” katanya.

Najib berkata tindakan Dr Mahathir yang berbanding dengan apa yang dikatakan terhadap dahulu tidak boleh diterima.

“Sekarang ini macam tak ada apa-apa berlaku.

“Tuan-tuan, saya tak boleh macam tu, I cannot do it, dia boleh. Tak apalah, dia buat macam itu, saya dengan saya, tetap dengan perjuangan kita,” kata Najib.

Pada 5 September, 2016, Dr Mahathir bersalam dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Anwar berada di mahkamah menghadiri pendengaran permohonan beliau untuk menggantung Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 untuk sementara waktu.

Kedua-dua mereka menjadi seteru semenjak Dr Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri beliau pada 2 September, 1998.

Najib yang dilantik sebagai perdana menteri pada April 2009, menafikan tuduhan bahawa beliau terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyaksikan dana pelaburan negara itu mengalami kerugian berbilion ringgit.

Skandal tersebut kini disiasat di beberapa negara atas dakwaan bahwa beberapa pegawai atasan menyalahgunakan dana 1MDB.

Selain Najib menyangkal peranannya dalam skandal itu, Peguam Negara Malaysia turut berkata perdana menteri sementara itu bebas dari sebarang salah laku. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen