Ketika Pakatan kumpul derma, BN keluarkan wang


The Malaysian Insight

RM47,000! Itulah jumlah kutipan daripada ceramah Pakatan Harapan yang diadakan di SS2, iaitu kawasan pinggir bandar di Petaling Jaya di tengah-tengah kerusi Parlimen Damansara yang dipertahankan calon DAP, Tony Pua. 

Barisan kerusi plastik mula dipenuhi orang ramai sekitar jam 9 malam untuk mendengar tujuh penceramah pada hari pertama kempen Pilihan Raya Umum ke 14. 

Dalam ceramah lain, Pakatan Harapan mengumpul lebih banyak derma untuk membiayai kempennya di seluruh negara dalam usahanya untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional. 

Ratusan, malah ada di beberapa tempat mencecah hingga ribuan hadirin pada ceramah yang diadakan. 

Namun bagi calon Barisan Nasional, mereka hanya mengharapkan kempen walkabout pada waktu pagi dan petang untuk meraih sokongan. Ceramah pada waktu malam bukanlah cara mereka. 

Selain itu, setiap calon yang mengenakan uniform biru dan orang ramai hanya bergantung kepada pemimpin utama mereka dan menjemput penceramah untuk bercakap mengenai isu semasa. Papan tanda dan media arus perdana turut membawa naratif kebangsaan untuk calon Barisan Nasional. 

Mereka hanya memfokuskan kepada perkhidmatan dan isu tempatan. Dan mereka turut menabur janji, biasanya dalam bentuk bantuan kewangan dan segala bentuk bantua lain, sebagai balasan untuk mendapatkan undi. 

Perbezaan cara berkempen kedua-dua pihak agak jelas. Pakatan Harapan bergantung kepada ceramah pada waktu malam, sesi live streaming di Facebook dan meminta derma serta berkempen meraih undi manakala Barisan Nasional menggunakan wang, media dan jenteranya untuk terus berkempen bagi mengekalkan kuasa.

Tinggal 10 hari lagi sebelum hari mengundi untuk mereka yang menderma atau menerima wang memilih masa depan negara. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen