WALAUPUN Presiden Amanah, Mohamad Sabu disebut-sebut sebagai bakal menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya kali ini, isteri beliau mempunyai pendapat sebaliknya.
Bagi Normah Alwi, memadai jika suaminya itu menang di kerusi Parlimen Kota Raja dan menjadi wakil rakyat yang baik sahaja tanpa dilantik ke jawatan menteri.
“Tak payahlah. Biarlah dia jadi wakil rakyat biasa sahaja. Kalau jadi menterikan lagi payah balik rumah,” kata Normah ketika ditemui semalam.
Normah pernah ditinggalkan Mohamad selama lebih dua tahun ketika suaminya itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting, Taiping, Perak.
Ketika itu beliaulah ibu dan bapa kepada anak-anaknya.
Kini, bekas pegawai kerajaan itu hanya ingin menikmati hidup sederhana di Shah Alam tanpa menonjolkan diri.
Beliau bagaimanapun sentiasa dilihat bersama Mohamad dan turut mengiringi suaminya itu semalam ke pusat penamaan calon Parlimen Kota Raja di Dewan MBSA Kemuning Utama, Klang.
Mohamad mempunyai harapan cerah untuk menang apabila kawasan itu seolah-olah diserahkan untuk dimenangi oleh pembangkang.
Ini memandangkan, persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini dilihat memberi keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH) kerana menyebabkan umlah pengundi bukan Melayu di kawasan itu bertambah.
Pengundi bukan Melayu itu dianggap sebagai penyokong utama PH. Keadaan ini berbeza dengan kawasan lain dikuasai PH yang mengalami pertambahan pengundi Melayu susulan persempadanan semula.
Pengundi bukan Melayu kini meningkat kepada 56% di Kota Raja berbanding 52% sahaja dalam PRU13 lalu. – 29 April, 2018.
Komen