Penduduk Langkawi mahu Dr Mahathir selamatkan Malaysia


The Malaysian Insight

SELEPAS sah menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Langkawi, sokongan terbuka ditunjukkan penduduk setempat kepada Dr Mahathir Mohamad.

Di kedai-kedai makan, pemandu Grab yang ditemui kebanyakannya yakin Dr Mahathir akan berjaya merampas kerusi Parlimen Langkawi daripada Barisan Nasional (BN) sekaligus membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Rata-rata pengundi yang ditemui Malaysia Decides di lokasi ceramah di Dewan Ho Peng di Langkawi malam tadi berkata, mereka sudah tidak sabar menunggu tarikh membuang undi pada 9 Mei ini untuk memberikan sokongan terhadap pengerusi PH itu.

“Harapan saya nak tukar sekali. Kita tengok orang baru memerintah macam mana.

“Sebab sejak merdeka hanya BN je yang memerintah, kita tak tahu kalau orang lain macam mana,” kata Ragendran, 34.

Pemuda yang bekerja sendiri itu berkata, pengalaman Dr Mahathir memerintah Malaysia selama 22 tahun memberikan keyakinan beliau dapat memulihkan Malaysia yang kini rosak.

“Memang bagus Tun bertanding di Langkawi. Sebab dialah Langkawi jadi maju. 

“Sumpah Mahsuri pun dia yang tamatkan. Kita nak Langkawi maju lagi.”

Sementara Ramasamy 60 pula berkata, sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan Perdana Menteri Najib Razak, hidup rakyat menjadi semakin susah.

Bagi Mohd Nor, 50, pada masa ini hanya Dr Mahathir yang dilihat dapat menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan Najib.

“Kalau kita tak dapat ubah kali ini, Malaysia akan hancur.

“Sebab itulah kita nak hantar Tun ke Parlimen, sekaligus merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional,” katanya. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen