BARISAN Nasional (BN) mungkin akan menghadapi tsunami rakyat Malaysia pada 9 Mei ini, kata seorang calon parlimen DAP di Pulau Pinang, biarpun analisis baru-baru ini mengatakan sebarang peningkatan sokongan Melayu tidak cukup untuk Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.
Penyandang kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata ada rakyat yang secara diam-diam menolak BN pada pilihan raya kali ini seperti yang berlaku pada 2008 sehingga menyebabkan Pulau Pinang, Perak, Kedah, Kelantan dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang.
“Pada 2008, orang cina pakai baju BN tetapi sokong pembangkang. Sedang mereka pakai baju BN, mereka bisik-bisik ‘Shh…biar BN kalah’,” kata Sim di hadapan 1,000 hadirin di Bagan, Pulau Pinang semalam.
Sim yang sering berkempen dan memberi ceramah di kawasan Melayu berkata beliau baru-baru ini berkempen untuk rakan sejawatnya dalam DAP, Lie Chin Tong yang akan bertanding melawan Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong di parlimen Ayer Hitam, Johor, di mana 58% penduduk di situ terdiri daripada Melayu.
Beliau dan sekumpulan ahli DAP masuk ke kampung-kampung Melayu, mengetuk pintu bagi mendapatkan sokongan tempatan untuk PH. Terdapat sebuah rumah terpacak satu bendera BN yang besar, kata Sim.
“Saya ketuk pintu dan minta sokongan dari pakcik (tuan rumah) itu. Perlahan-lahan beliau berkata akan sokong PH kali ini. Saya terkejut sebab depan rumah beliau ada bendera BN yang besar.
“Pakcik itu kata di kampung beliau tak boleh sokong pembangkang secara terbuka. Kalau tidak, beliau akan jumpa jiran yang tak puas hati bila ke masjid atau ke kedai kopi.
“Najib tahu hal ini. Beliau dapat laporan yang menunjukkan ancaman sedemikian terhadap sokongan BN… sebab itu pilihan raya diadakan pada Rabu,” katanya, merujuk kepada 9 Mei ini.
Sim, yang mempertahankan kerusinya berkata beliau sudah ke Kedah, Johor dan Perak, dan merasakan perubahan dalam sentimen rakyat, tanpa mengira kaum.
“Akan ada tsunami Cina, Melayu dan India. Ia akan jadi tsunami rakyat Malaysia kerana semua orang terkesan dengan GST. Ahli Umno pun kena bayar GST.
“Semua rakyat Malaysia yang bayar GST dan merasa keperitan kenaikan kos sara hidup. Rakyat yang merasainya akan bangkit.”
PH telah berikrar akan menghapuskan GST sekiranya ia berjaya menawan Putrajaya. Cukai sebanyak 6% itu, yang menyumbang RM45 bilion kepada Kerajaan Persekutuan, dipersalahkan menjadi punca kepada kenaikan kos sara hidup. – 29 April, 2018.
Komen