Dr Mahathir ingin betulkan kesilapan lalu dalam video penuh emosi


The Malaysian Insight

DALAM satu filem pendek yang disiarkan semalam, Dr Mahathir Mohamad dengan penuh emosi berkata beliau sedang mengejar masa untuk membetulkan kesilapan lalu dengan harapan dapat membina semula Malaysia.

Dalam video itu, pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjawab soalan seorang remaja perempuan, yang ingin tahu mengapa bekas perdana menteri berusia 93 tahun itu “masih bekerja”.

“Ini kerana atuk perlu buat kerja berkenaan pemulihan negara kita. Disebabkan oleh mungkin kesalahan atuk dahulu dan keadaan yang ada sekarang ini,” katanya.

Menjelang akhir video 2: 20 minit, Dr Mahathir tersentak dengan emosi ketika beliau mengakui terpaksa bekerja sambil mengejar masa yang ada.

“Atuk dah tua. Umur sudah 90 tahun lebih. Masa tak banyak tetapi setakat yang boleh, atuk akan berusaha sedaya upaya bekerjasama dengan kawan-kawan untuk pulihkan semula negara kita Malaysia,” katanya.

Beliau kemudian menerangkan konsep “Merdeka” kepada kanak-kanak perempuan itu dan adiknya, mengatakan untuk sebuah negara yang dianggap bebas, rakyatnya harus dijamin dengan kehidupan sewajarnya, aman dan selamat

Filem ini berakhir dengan kanak-kanak perempuan itu memeluk Dr Mahathir untuk memujuknya.

Dr Mahathir adalah calon tertua dalam PRU14.

Beliau akan berdepan pertarungan tiga penjuru di Langkawi menentang penyandang Nawawi Hassan daripada BN dan calon PAS, Zubir Ahmad.

Dr Mahathir menyertai semula politik 15 tahun selepas bersara, dan akan bertanding di bawah logo PKR, simbol parti bekas musuh Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen