Najib akan jual tanah Langkawi jika BN menang, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad meneruskan serangannya terhadap Perdana Menteri Najib Razak, lebih banyak tanah akan dijual sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ini perlu dilakukan kerana Malaysia di bawah pimpinan Najib sudah banyak berhutang.

“Sebab itu di masa hadapan kerajaan Najib akan mengenakan lebih banyak cukai kerana perlu membayar hutang yang begitu besar yang telah diambil oleh Najib.

“Kalau tak dengan cara tambahan cukai, Najib mungkin jual tanah. Dia sudah jual banyak tanah di Malaysia.

“Kerana nak cari wang, untuk bayar hutang. Mungkin pulau-pulau di Langkawi ini, akan dijual kepada orang,” kata bekas perdana menteri itu dalam ceramah umum pertamanya selepas sah menjadi calon di kerusi Parlimen Langkawi.

Dr Mahathir akan berdepan pertembungan tiga penjuru melawan calon BN Nawawi Ahmad dan calon PAS Zubir Ahmad.

Pada PRU13, Nawawi menewaskan calon PKR Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi.

Menurut Dr Mahathir, jumlah hutang Malaysia sebenar lebih besar daripada apa yang dinyatakan Najib.

“Najib sudah hutang wang sebanyak lebih daripada RM1 trilion. Angka yang disebut ialah RM600 bilion.

“Tetapi sebenarnya, hutang Najib jauh lebih besar. Dan kita mesti bayar hutang ini,” katanya pada ceramah yang dihadiri 500 orang itu. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen