KETUA menteri sementara Lim Guan Eng menggesa orang ramai supaya tidak bertaruh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mengatakan pengundi tidak harus memperjudikan masa depan negara.
Lim berkata di Pulau Pinang, terdapat pertaruhan yang Pakatan Harapan (PH) bakal hilang lapan hingga 12 kerusi negeri dalam pilihan raya pada 9 Mei.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi negeri. Dalam pilihan raya lepas, DAP memenangi 19, PKR (10) dan PAS (1) manakala Barisan Nasional (BN) selebihnya, 10.
“Kehilangan minimum lapan hingga 12 kerusi bermakna kemungkinan kehilangan kuasa (PH). Jangan bertaruh. Jangan pandang ringan lawan kita.
“Lihat pencalonan (semalam). Mereka menipu. Mereka akan menipu. Rakyat perlu memastikan keluar mengundi,” katanya selepas ceramah mega di George Town semalam.
PH bertanding sebanyak 39 kerusi kali ini – tidak termasuk Penaga yang dipegang oleh BN – berikutan kehilangan kelayakan calonnya, Yaakob Osman apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkannya muflis.
Beberapa calon PH lain di seluruh negara hilang kelayakan semasa penamaan calon semalam. Antaranya ialah Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang (dikenali sebagai Tian Chua), yang terhalang daripada mempertahankan kerusi Parlimen Batu dengan alasan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Calon PKR lain, Dr Streram Sinnasamy juga tidak boleh bertanding selepas dihalang masuk ke Dewan Sri Rembau untuk mengemukakan kertas pencalonannya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri atas alasan beliau tidak mempunyai pas SPR.
Ia menyebabkan calon BN, Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, menang tanpa bertanding. – 29 April, 2018.
Komen