LOT tanah dan rumah percuma serta pinjaman perumahan tanpa faedah - ini antara yang ditawarkan PAS untuk rakyat Terengganu dalam usaha mereka untuk merampas semula negeri yang kaya dengan hasil minyak itu dari Barisan Nasional (BN).
PAS berjaya menawan Terengganu pada pilihan raya umum 1999, tetapi tewas kepada BN pada 2004 disebabkan penerimaan baik orang Melayu terhadap perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.
Mohd Nor Hamzah , yang mempertahankan kerusi DUN Bukit Payong, berkata PAS mensasarkan untuk mengagih 60,000 lot tanah kepada golongan muda berusia 21 ke atas sekiranya parti itu berjaya menawan semula Terengganu.
“Setiap satu ekar kita boleh bahagi kepada lima lot. Boleh diguna untuk buat rumah kepada pemuda yang layak,” kata Mohd Nor pada ceramah di Binjai Rendah malam tadi.
Mohd Nor menambah, bagi mereka yang tidak mahu lot tanah kosong, boleh memohon sebuah rumah kos rendah manakala bagi yang inginkan pinjaman perumahan pula, mereka boleh memohon pinjaman tanpa faedah dari dana RM50 juta.
Skim-skim ini merupakan sebahagian daripada manifesto 20 perkara istimewa untuk Terengganu, yang turut merangkumi rancangan untuk menghapuskan cukai pintu.
Mohd Nor enggan mendedahkan bagaimana PAS akan membiayai skim-skim ini tetapi Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi bayangan bahawa parti itu akan menggunakan hasil royalti minyak yang dikutip dari Kerajaan Persekutuan.
“Kita (PAS) akan menguruskan dana kerajaan dengan penuh tanggungjawab dan akan membelanjanya dengan baik. Kekayaan yang kita dapat daripada royalti, kita akan gunakan untuk menstabilkan harga petrol,” kata Hadi.
“Bila kita dapat royalti minyak, kita akan mempunyai sumber secukupnya untuk mansuhkan cukai pintu. Kita mampu melakukan semua ini sekirannya diberi peluang.”
PAS ketika ini memegang 14 daripada 32 kerusi DUN. Parti itu perlu mempertahankan kerusi sedia ada dan menang tiga lagi kerusi untu membentuk kerajaan negeri. – 29 April, 2018.
Komen