Ibu Nhaveen sanggup mogok lapar demi tegakkan keadilan


Ravin Palanisamy

T Nhaveen, 18, maut selepas diserang dalam satu insiden di Pulau Pinang pada 2017. Lima individu didakwa membunuhnya, tetapi dilepaskan mahkamah pada minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

SHANTI Dorairaj, ibu kepada T Nhaveen, akan menghantar memorandum kepada Pejabat Peguam Negara hari ini meminta untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung kes anaknya itu.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili keluarga Nhaveen dan saksi utama T Previin, akan membuat permohonan secra rasmi kepada peguam negara dan timbalan pendakwa raya untuk merayu keputusan itu.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Radzi Hamid melepaskan dan membebaskan lima individu dalam pendakwaan kes bunuh Nhaveen selepas mahkamah mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kerana bukti yang dikemukakan tidak konsisten.

S. Gopinath, 32, dan empat yang lain yang masih di bawah umur ketika didakwa dan kini berusia 24 tahun, dibebaskan serta merta.

Rajesh berkata ada asas yang kukuh untuk membuat rayuan.

“Pada 12 Disember, 2022 hakim menolak permohonan tertuduh untuk mendakwa saksi utama, Previin.

“Ini jelas menunjukkan Previin adalah saksi yang boleh dipercayai.

“Namun pada 3 Oktober, 2023 hakim membebaskan semua lima tertuduh dan menyatakan Previin adalah saksi yang tidak boleh dipercayai,” kata Rajesh.

Sementara itu, Pengerusi Nhaveen Action Investigation League Arun Doraisamy berkata beliau ada bertemu dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh berhubung perkara itu, semalam.

Arun berkata beliau bersama Shanti akan ke Pejabat Peguam Negara petang ini untuk menyerahkan memorandum itu.

“Rayuan perlu dibuat sebelum 17 Oktober dan kita tidak boleh tunggu hingga saat terakhir untuk bertindak.

“Jika pada Ahad ini tidak ada keputusan berkenaan rayuan itu, Shanti dan saya akan melakukan mogok lapar bermula Isnin,” kata Arun.

Pada 19 Jun, 2017 lima tertuduh itu didakwa membunuh Nhaveen yang berusia 18 tahun ketika itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 34.

Semua tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa.

Dilaporkan Nhaveen dipukul lima individu terbabit ketika membeli burger di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor.

Rakan Nhaveen yang juga ada bersamanya, dapat melarikan diri. Nhaveen kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius termasuk lecur di belakang badannya. – 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen