WALAUPUN bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS masih sanggup membentuk kerajaan dengan salah satu gabungan itu sekiranya Parlimen tergantung.
Presiden parti, Abdul Hadi Awang, berkata PAS sanggup menyumbang mana-mana kerusi Parlimen yang dimenangi kepada kerajaan masa depan dengan satu syarat – mereka menerima konsep Islam yang dibawanya.
Bagaimanapun, Hadi menekankan parti itu masih mensasarkan untuk membentuk kerajaan sendiri dengan bertanding kira-kira 150 kerusi Parlimen.
“Jika kita penentu yang mempunyai 40 kerusi, maka PAS sanggup bekerjasama dengan orang lain untuk membentuk kerajaan dengan syarat mereka menerima Islam,” kata Hadi dalam ceramahnya di Binjai Rendah, Marang.
“Jika BN boleh (menerima syarat ini), kami akan bersama mereka. Jika PH melakukan perkara yang sama, kami juga bersedia untuk bekerjasama dengan mereka.”
Dan sekiranya tiada sesiapa mahu bergabung dengan PAS, parti Islam itu bersedia menjadi parti pembangkang di Dewan Rakyat.
PAS, yang mempunyai 15 kerusi Parlimen, bertanding menentang BN dan PH.
Penganalisis berkata, berdasarkan sejarah apabila dua parti pembangkang menentang BN, ia akan memberi kelebihan kepadanya memandangkan undi bukan BN berpecah.
Sepanjang sejarah PAS, ia bekerjasama dengan BN pada 1974 dan parti dalam PH – PKR dan DAP – dari 1999 hingga 2014.
Ia mengakhiri hubungan dengan PKR dan DAP pada 2016.
Pada masa ini, Hadi berkata BN tidak berminat untuk membawa Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 20166 (RUU355) ke Parlimen untuk mempertingkatkan hukuman syariah yang turut ditentang PH. – 29 April, 2018.
Komen