DCA perlu siasat sebelum tolak dakwaan sabotaj, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad mempertahankan dakwaan pesawatnya disabotaj, mengatakan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak boleh menentukan apa sebenarnya berlaku sebelum siasatan dibuat.

Pada ceramah umum pertamanya selepas sah menjadi calon, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, apa yang berlaku kepada pesawatnya, disahkan oleh CAAM sendiri.

“DCA tahu pesawat itu tak dapat terbang apakah ia disebabkan sabotaj ataupun tidak. Tidak boleh ditentukan oleh DCA sebelum siasatan,” kata Dr Mahathir dalam satu ucapan di Langkawi malam tadi, merujuk kepada nama CAAM sebelum ia dinaik taraf.

“Saya nyatakan pada akhbar, hari ini DCA anggap tuduhan saya sebagai serius. Saya tak tuduh DCA, saya cuma nak nyatakan apa yang berlaku, diakui oleh DCA sendiri.”

CAAM pada Sabtu berkata tidak menemui sebarang petunjuk mengenai dakwaan Dr Mahathir pesawat yang sepatutnya dinaiki disabotaj.

Pengerusi CAAM Azharuddin Abdul Rahman berkata pesawat itu tidak dapat terbang kerana mengalami kebocoran udara di roda kiri, yang merupakan kesalahan teknikal kecil dan rutin.

“Tuduhan sabotaj terhadap pesawat sangat serius dan boleh memberi kesan kepada reputasi penerbangan Malaysia dan negara secara keseluruhannya, terutama dalam tempoh sensitif pilihan raya umum sekarang.

“Adalah tidak bermoral untuk membuat tuduhan liar dan palsu demi kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Mahathir berkata malam tadi, perkara itu sengaja dibuat kerana ada niat untuk menghalangnya untuk menjadi calon.

“Nampak seolah-olah ada pihak yang tahu kecederaan pada pesawat saya itu dan menentukan tidak ada pesawat lain yang boleh saya pinjam, supaya saya tak dapat terbang ke Langkawi,” katanya. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen