Permasalahan Israel-Palestin adalah penjajahan!


Ruhan Shahrir

Belon api meletus di Kota Gaza selepas serangan udara Israel semalam. – Gambar AFP, 12 Oktober, 2023.

PERMASALAHAN Israel-Palestin bukan konflik. Bukan krisis. Bukan juga pertikaian.

Menggunakan istilah konflik, krisis mahu pun pertikaian hanya meremehkan hakikat permasalahan yang cukup gawat dan serius itu.

Istilah pendudukan juga tidak cukup tuntas untuk menggambarkan realiti sebenar. Apa yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin adalah sebuah penjajahan. Noktah.

Menggunakan istilah yang tepat bersesuaian dengan fakta dan proses sejarah penjajahan yang telah terjadi ke atas bumi Palestin adalah suatu bentuk pengungkapan peristiwa sebenar.

Ia turut mencerminkan nilai dan pendirian politik kita sebagai individu, masyarakat, NGO, kerajaan mahu pun media massa dalam menanggapi permasalahan tersebut.

Hakikatnya Palestin dijajah oleh Israel. Penjajahan bukan sekadar konflik, krisis atau pertikaian. Tidak juga semata-mata pendudukan tetapi pendudukan yang dilakukan secara haram.

Dalam takrifan yang lebih menyeluruh penjajahan adalah penguasaan sebuah bangsa asing secara fizikal ke atas sebuah wilayah geografi yang bukan miliknya secara licik, tipu-muslihat, kekerasan dan pemaksaan.

Penjajahan bukan hanya melibatkan penguasaan wilayah geografi tetapi juga merangkumi kawalan dan penguasaan sebuah bangsa asing ke atas kebebasan dan kemandirian masyarakat pribumi yang dijajahnya itu.

Dengan kata lain masyarakat pribumi kehilangan kemandirian untuk menentukan masa depannya sendiri akibat daripada penjajahan tersebut. Itulah yang telah dilakukan oleh Israel ke atas Palestin.

Justeru, tidak ada istilah lain yang lebih tepat untuk memerikan permasalahan Israel-Palestin melainkan penjajahan.

Menelusuri penjajahan Israel ke atas Palestin akan menemukan kita dengan peranan Kerajaan British khususnya dan Tentera Berikat amnya.

British mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2 November 1917, yakni suatu perjanjian bertulis yang menyatakan keazaman mereka untuk membantu orang-orang Yahudi Zionist yang berpusat di Eropah khususnya untuk menzahirkan cita-cita Zionisme, yakni menubuhkan sebuah negara khas buat bangsa Israel di wilayah Palestin.

Berikut adalah dokumen lengkap Deklarasi Balfour:

November 2nd, 1917

Dear Lord Rothschild,

I have much pleasure in conveying to you, on behalf of His Majesty’s Government, the following declaration of sympathy with Jewish Zionist aspirations which has been submitted to, and approved by, the Cabinet.

“His Majesty’s Government view with favour the establishment in Palestine of a national home for the Jewish people, and will use their best endeavours to facilitate the achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done which may prejudice the civil and religious rights of existing non-Jewish communities in Palestine, or the rights and political status enjoyed by Jews in any other country.”

I should be grateful if you would bring this declaration to the knowledge of the Zionist Federation.

Yours sincerely,

Arthur James Balfour

Jika diteliti dengan intim Deklarasi Balfour tersebut, kita akan mendapati istilah “Orang Arab” yang pada ketika itu merupakan lebih daripada 90% penduduk wilayah Palestin, langsung tidak disebut.

Hanya dua istilah yang merujuk kepada komuniti manusia ditulis dalam dokumen tersebut yakni “Orang Yahudi” dan “Bukan Yahudi”.

Siapa “Bukan Yahudi” tidak dinyatakan. Suatu bentuk pemadaman atau penghilangan nama khas sebuah bangsa yang merupakan sebahagian besar daripada penduduk di wilayah tersebut di dalam sebuah dokumen rasmi penjajah.

Daripada ayat yang digunakan dalam deklarasi ini jelas menunjukkan bagaimana British dan Zionist secara liciknya menafikan kewujudan komuniti Arab yang bukan sahaja merupakan lebih daripada 90% penduduk tetapi juga sudah ribuan tahun hidup, melahirkan generasi, dan bertapak di wilayah Palestin sebagai “homeland” atau tanah air mereka.

Memetik kata-kata Edward Said, seorang intelektual Palestin berketurunan Arab Kristian, Deklarasi Balfour adalah sebuah perjanjian “made by a European power … about a non-European territory … in a flat disregard of both the presence and wishes of the native majority resident in that territory”.

Secara intinya Deklarasi Balfour dibuat oleh sebuah kuasa Eropah mengenai suatu wilayah yang bukan Eropah tanpa sekelumit pun mempedulikan kewujudan dan kemahuan majoriti penduduk pribumi di wilayah tersebut.

Dalam konteks tersebut wilayah Palestin yang merupakan tanah air buat bangsa Arab Palestin sejak ribuan tahun digantikan dengan sebuah negara baru khas buat bangsa Yahudi tanpa merujuk kepada penduduk pribumi yang sudah pun mendiami wilayah itu sejak sekian lama.

Untuk menjayakan aspirasi British dan Zionist tersebut, maka bermulalah perpindahan atau migrasi secara besar-besaran orang-orang Yahudi khususnya daripada Eropah ke wilayah Palestin.

Dengan hanya sekitar 60,000 penduduk Yahudi di wilayah Palestin sebelum Deklarasi Balfour, ia melonjak naik sehingga mencapai jumlah 700,000 orang pada tahun 1948, ketika negara Israel diisytiharkan.

Pertambahan lebih daripada sepuluh kali ganda itu bukanlah disebabkan kelahiran tetapi migrasi pendatang-pendatang Yahudi yang berasal daripada Eropah khususnya mereka yang lari daripada kekejaman Nazi German dan tidak pula diterima di negara-negara Eropah lain.

Perpindahan secara besar-besaran yang mengubah demografi secara drastik itu tentunya mengundang penentangan daripada penduduk pribumi Arab Palestin kerana yang menjadi taruhan adalah tanah air mereka sendiri yang kini sedang direbut oleh sebuah bangsa asing.

Penentangan-penentangan yang dilakukan oleh penduduk pribumi Arab Palestin itu kemudiannya ditangani oleh British bukan hanya dengan tindakan kekerasan, keganasan, pembunuhan dan pemenjaraan tetapi juga pengusiran penduduk pribumi Arab Palestin daripada tanah-tanah yang diduduki mereka.

Malahan British turut mempersenjatai dan memberi latihan ketenteraan kepada komuniti pendatang Yahudi Zionist untuk meluaskan kawasan-kawasan jajahan mereka.

Ketegangan dan kekerasan tentunya tak terelakkan di dalam situasi tersebut.

Antara sang penjajah dan mereka yang dijajah berlaku konflik bersenjata yang berterusan menerusi beberapa siri pemberontakan oleh penduduk pribumi Arab Palestin terhadap komuniti pendatang Yahudi Zionist dan sekutu mereka British.

Pemberontakan Arab Palestin untuk merebut kembali kemerdekaan tanah air mereka dari tahun 1936 hingga 1939 misalnya memakan korban sekitar 5,000 nyawa Arab Palestin, 15,000-20,000 cedera dan 5,600 dipenjarakan.

Keganasan dan perampasan tanah yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata pendatang Yahudi Zionist ini berterusan sehinggalah mencetuskan apa yang dinamakan sebagai Nakba pada tahun 1948.

Nakba bermakna malapetaka. Apa yang dimaksudkan dengan malapetaka itu adalah merujuk kepada penghapusan etnik yang dilakukan oleh pendatang Yahudi Zionist ke atas penduduk pribumi Arab Palestin secara terancang dan sistematik.

Menuju kepada perisytiharan negara Israel pada tahun 1948, operasi ketenteraan dijalankan oleh kumpulan bersenjata pendatang Yahudi Zionist yang dinamakan Haganah. Kumpulan bersenjata Haganah inilah yang kemudiannya menjadi Israel Defence Force (IDF).

Di sepanjang operasi tersebut yang berlangsung daripada tahun 1947 hingga 1949, sebanyak lebih daripada 500 perkampungan, bandar dan kota yang didiami oleh penduduk pribumi Arab Palestin dibakar dan dihancurkan, dianggarkan kira-kira 15,000 nyawa penduduk pribumi Arab Palestin terkorban, 78% wilayah penempatan Arab Palestin dirampas dan dikuasai oleh pendatang Yahudi Zionist, manakala 22% lagi dipecah dan dipisahkan menjadi dua bahagian – Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Seramai 750,000 penduduk Arab Palestin diusir dari rumah dan tanah asal mereka pada tahun-tahun Nakba tersebut dan tidak dibenarkan pulang sehingga sekarang.

Dianggarkan terdapat lebih kurang 6 juta pelarian Palestin yang merupakan keturunan daripada mereka yang terusir dari tanah air dahulunya dan kini menempati khemah-khemah pelarian yang buruk, jelek dan serba kekurangan di sekitar Gaza, Tebing Barat dan negara-negara tetangga di Lebonan, Syria, Jordan dan Mesir.

Negara Israel pada akhirnya diisytiharkan secara haram di atas darah, nyawa, perampasan tanah, penjajahan wilayah dan penghapusan etnik pribumi Arab Palestin pada 15 Mei 1948. Selama lebih daripada 75 tahun Palestin dirundung malapetaka.

Jika ia bukan penjajahan, istilah apa yang harus kita pakai? – 13 Oktober, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen