PAS punyai 80% peluang menang saman terhadap Sarawak Report


The Malaysian Insight

PAS mempunyai “80% peluang” untuk memenangi saman fitnahnya terhadap laman sesawang  Sarawak Report, kata presidennya, Abdul Hadi Awang yang perbicaraannya akan bermula esok.

Peluang dimaksudkan itu disampaikan oleh peguamnya di United Kingdom (UK), yang mengendalikan kes berkenaan, kata Hadi selepas ceramah di Bingai Rendah, Marang malam tadi.

“Peguam memaklumkan kepada kami yang peluang kita adalah dalam 80%,” kata Hadi.

Saman itu mendakwa Sarawak Report memfitnah parti itu dengan mendakwa ia menerima sumbangan sebanyak RM90 juta.

Menurutnya, jumlah yang akan dibayar daripada saman akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi UK.

Laporan awal mengatakan PAS menuntut ganti rugi daripada pengarang laman sesawang Claire Rewcastle-Brown dalam saman yang difailkan pada April 2017.

Pada Ogos 2016, Sarawak Report mendakwa Hadi menerima RM90 juta dalam bentuk rasuah daripada perdana menteri sementara Najib Razak sebagai balasan sokongan terhadapnya.

Dalam ucapan terdahulu, Hadi berkata peguam itu mewakili beliau ketika sebuah akhbar UK menuduhnya sebagai pengganas.

“Di dalam kes itu, beliau mewakili saya dan kami menang RM40,000 daripada surat khabar itu. Tetapi duit itu sudah lama dibelanjakan kerana ia kes lama.”

Hadi diwakili oleh firma guaman Carter-Ruck dan barrister Jacob Dean di London.

Dalam ceramah itu, Hadi berkata tidak masuk akal Umno akan memberikan PAS wang memandangkan parti Melayu itu adalah pesaing mereka.

“Kita ada sejuta ahli dan beribu cawagan di seluruh negara .. Setiap kali ceramah kita boleh kutip RM4,000, RM5,000 pun boleh. Kita juga ada banyak Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam).” – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen