JAMALIAH Jamaluddin mempunyai dua pilihan: menjauhkan diri daripada sejarah keluarganya yang pernah terlibat dengan Parti Komunis Malaysia (PKM) atau menerima dengan hati terbuka neneknya serta memberi tumpuan untuk melakukan sesuatu yang bermakna semasa tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau memilih nombor dua.
Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya berusia 29 tahun itu dicalonkan sebagai calon DAP bagi kerusi DUN Bandar Utama di Selangor dan diserang media dikawal Barisan Nasional kerana neneknya Shamsiah Fakeh pernah menyertai PKM untuk berjuang demi kemerdekaan Malaya dan menjadi sebahagian daripada pergerakan bawah tanah yang diharamkan oleh British.
Shamsiah dan suaminya Ibrahim Mohamad akhirnya dipecat kerana mengkritik parti itu.
Jamaliah enggan terjebak dengan kontroversi yang melingkari masa lampau neneknya, dengan hanya mengatakan Shamsiah adalah seorang pejuang kebebasan dan menyokong hak-hak wanita.
Beliau berkata fokusnya adalah mengenai apa yang boleh dilakukan untuk rakyat Selangor dan rakyat Malaysia.
“Saya rasa rakyat perlu tahu siapa Jamaliah Jamaluddin, latar belakang dan isu-isu masyarakat yang saya selesaikan.”
Ketua DAP Selangor Tony Pua dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Yeo Bee Yin adalah antara pemimpin tertinggi parti yang memberi Jamaliah sokongan dan persetujuan mereka.
“Beliau membuktikan dirinya sebagai orang yang rajin, jujur dan boleh dipercayai ... perkara terbaik yang saya dapati tentangnya adalah mempunyai pertimbangan keadilan yang kuat dan ihsan terhadap rakyat,” tulis Yeo di laman Facebooknya.
“Anda tahu, dalam politik, anda boleh belajar segala-galanya – bercakap, menulis, berdebat dan politicking – tetapi anda tidak boleh ‘belajar’ keyakinan dan bagi saya, keyakinan yang kuat untuk kebaikan rakyat dan negara adalah sifat paling penting bagi seorang ahli politik,” katanya kepada Jamaliah.
Jamaliah akan menentang Timbalan Pengerusi MCA Petaling Jaya Utara Ch’ng Soo Chau pada pilihan raya 9 Mei ini. – 29 April, 2018.
Komen