Putrajaya kembalikan pasukan keselamatan penuh Dr Mahathir


The Malaysian Insight

PUTRAJAYA mengembalikan pasukan keselamatan penuh Dr Mahathir Mohamad selepas terdapat ancaman terhadap bekas perdana menteri itu, kata sumber.

Sumber berkata, Dr Mahathir kini dilengkapi dengan pasukan pengawal keselamatan dan pengiring sama seperti sebelum beliau menentang Perdana Menteri Najib Razak.

“Ya, terdapat ancaman terhadap keselamatan Dr Mahathir dan Alhamdulillah pasukan keselamatan penuh sudah dikembalikan,” kata sumber kepada Malaysia Decides dengan syarat tidak dinamakan.

Seorang lagi sumber mengesahkan perkara itu kepada Malaysia Decides tetapi tidak mahu mengulas lanjut.

Mereka juga tidak menyatakan ancaman keselamatan yang dimaksudkan.

Tinjauan Malaysia Decides semasa hari penamaan calon di Langkawi mendapati Dr Mahathir, yang bertanding kerusi parlimen, diiringi pasukan anggota keselamatan yang lengkap.

Dr Mahathir pada Jumaat mendakwa pesawat yang dinaikinya menuju ke Langkawi dirosakkan pihak tertentu.

Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia, Azharuddin Abdul Rahman dalam kenyataan semalam berkata tiada unsur sabotaj ke atas pesawat Dr Mahathir.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah tayar pesawat berkenaan bocor dan tidak dapat diganti kerana ketiadaan alat ganti, kat Azharuddin.

Dr Mahathir pada 1 November tahun lalu berkata polis menarik balik khidmat pengawal peribadinya yang diberikan kepada semua bekas perdana menteri.

Ketua Polis Negara, Mohamed Fuzi Harun bagaimanapun menjelaskan perkhidmatan itu bukan ditarik balik sebaliknya hanya dikurangkan bilangan pegawai.

Ketika ditemui Malaysia Decides, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin berkata, isu ancaman keselamatan terhadap Dr Mahathir tidak boleh dipandang ringan kerana pernah berlaku di negara-negara lain, merujuk kepada pembunuhan Benigno Aquino di Filipina yang bermusuh dengan Presiden Ferdinand Marcos.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, jika di Amerika Syarikat, orang seperti Dr Mahathir sudah pasti akan diberikan perlindungan penuh oleh negara.

“Tetapi kita sekarang ini di Malaysia,” katanya. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen