CERAMAH pertama Pakatan Harapan (PH) selepas hari penamaan calon yang berkisar tentang bagaimana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjejaskan kehidupan rakyat disambut baik pengundi di Muar dan Bakri, Johor.
Seorang demi seorang calon PH untuk kerusi Parlimen Bakri, Ledang, Muar dan Pulai serta calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Tangkak, Serom, Bukit Naning dan Maharani memberi ucapan mereka tentang bagaimana kos kehidupan meningkat mendadak disebabkan GST.
“Kerajaan kutip lebih daripada RM42 bilion GST dan hanya pulangkan RM6.8 bilion dalam bentuk BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia),” kata calon Bukit Naning, Md Ysahrudin malam tadi.
Tambahnya, kutipan GST selebihnya digunakan untuk membiayai korupsi diamalkan kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN).
Calon Bentayan pula memberi amaran yang GST di Malaysia akan dinaikkan selepas pilihan raya.
“Singapura yang diuruskan dengan baikpun, dengan sedikit sahaja korupsi sudah memutuskan untuk menaikkan kadar GST daripada 7% kepada 9% menjelang 2021. Boleh percaya ke BN tidak buat benda sama selepas PRU14?,” kata Ng Yet How.
Selain GST, calon turut memberi tumpuan kepada komposisi PH yang lebih berbilang kaum dan berpadu dibandingkan dengan BN.
Calon Bakri, Yeo Bee Yin misalnya mendedahkan yang PH mempunyai lebih ramai calon muda dan Kabinet BN juga kekurangan wanita.
“Kabinet ada lebih daripada 79 menteri dan timbalan menteri tetapi hanya tiga wanita. Jika tuan puan mahu lebih banyak suara wanita dalam kerajaan, tuan puan perlu pilih Pakatan (PH),” kata bekas Adun Damasara Utama itu.
Satu lagi isu yang menjadi tumpuan malam tadi adalah bagaimana kepelbagaian umur dan kaum dalam PH membolehkan perubahan sebenar dilaksanakan. Calon Pulai, Salahudin Ayob; calon Muar Syed Saddiq Abdul Rahman dan calon Pagoh Muhyiddin Yassin bergilir-gilir menekankan perkara ini yang disambut baik lebih 6,000 orang yang membanjiri Bakri malam tadi.
Mereka juga menyalahkan Perdana Menteri Najib Razak atas segala masalah yang dihadapi negara sekarang.
“Najib adalah PM (perdana menteri) paling tidak bertanggungjawab dalam tempoh 60 tahun. Ketika Dr Mahathir Mohamad jadi PM selama 22 tahun, hanya ada masalah kecil dan tak ramai yang marah kepadanya. Tetapi mereka tak marah kepadanya seperti marah mereka kepada Najib sekarang,” kata Muhyiddin disambut sorakan hadirin.
“Ini kalilah. Inilah peluang seumur hidup untuk tukar kerajaan dan tamatkan pemerintahan BN. Kuasa ditangan anda,” kata bekas timbalan perdana menteri berusia 70 tahun itu.
“Jangan fikir sangat tentang masalah yang kita ada sekarang tetapi gunakan peluang ini untuk berubah jadi lebih baik,” kata presiden Bersatu itu lagi. – 29 April, 2018.
Komen