DAP menerajui parti politik yang memperkenalkan muka baru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Sepuluh daripada calonnya berusia 30 tahun ke bawah.
Parti lain turut memperkenalkan muka baru, tetapi tidak sebanyak DAP, kata penganalisis politik James Chin yang menyifatkan tindakan itu sebagai strategi pembaharuan dan pewarisan parti itu.
“Mengambil seseorang yang berusia kurang 30 adalah sukar. Mereka kebanyakannya professional muda yang baru sahaja tamat (pengajian) universiti dan kurang pengalaman,” kata Chin yang merupakan profesor sains politik di Monash University.
“Parti berkemungkinan besar meletakkan seseorang yang berusia antara 30 hingga 40 yang masih dalam kategori belia.”
Ikmal Ahmad, penulis “PRU for Noobs” menyuarakan sentiment sama. “Jika calon muda itu layak atau boleh menarik undi pengundi tempatan, maka sudah tentu lebih baik letakkan mereka.”
“Apa yang penting adalah ‘kesegaran’, bukannya (kerana mereka) muda. Ambil contoh Pakatan (Harapan) Kelantan, mereka letak banyak muka baru pelbagai latar belakang professional. Tiada ‘daging muda’, tetapi masih ada rasa ‘baru’ di situ.”
Chin berkata meletakkan calon muda akan membantu parti memastikan kepimpinan parti diteruskan pada masa hadapan.
“Inilah peluang untuk calon bina jenama mereka. Kecualilah jika mereka luar biasa, kempen mereka akan fokus kepada memperkenalkan diri mereka kepada pengundi. Ini memudahkan mereka jika mereka bertanding sekali lagi, kerana rakyat sudah kenal siapa mereka.”
Meletakkan calon muda juga boleh menjadi strategi meningkatkan jumlah pengundi keluar mengundi.
“Calon muda boleh memberi inspirasi kepada pengundi berdaftar untuk keluar mengundi. Orang muda bukanlah tidak berminat dengan politik, mereka membincangkannya setiap hari, tetapi mereka perlu tengok rakan sebaya mereka yang boleh membincangkan kebimbangan mereka dengan baik dan menjadi model politik mereka,” kata Ikmal.
Bagaimanapun, bergantung kepada kawasan, faktor penentunya mungkin terletak kepada personaliti calon berbanding umur mereka.
“Di kawasan luar bandar, pengundi lebih cenderung kepada personaliti yang mereka kenal. Orang baru mungkin tak mampu meraih kepercayaan mereka. Tetapi, dalam kes DAP, pengundi (kenal parti) dan penyokong mereka percaya yang parti sudah memilih calon yang tepat,” kata Chin. – 28 April, 2018.
Belia bawah 30 bertanding PRU14
PKR:
Wong Chun Yuan, 29, Damak, Pahang
Chua Wei Kiat, 29, Rawang, Selangor
Muhammad Hilman b. Idham, 29, Gombak Setia, Selangor
Muhammad Aman Aizuddin b. Md Husin, 29, Batu Kurau, Perak
DAP:
Kerk Chee Yee, 25, Ayer Keroh, Melaka.
Jamaliah Jamaluddin, 29, Bandar Utama, Selangor
Michelle Ng, 28, Subang Jaya, Selangor
Lim Yi Wei, 28, Kampung Tunku, Selangor
Choy Tsi Jen, 30, Canning, Perak
Teoh Yee Chern, 28, Astaka, Perak
Young Syefura Othman (Rara), 28, Ketari, Pahang
Teh Swee Leong, 28, Kota Darul Aman, Kedah
Phoong Jin Zhe, 29, Luyang, Sabah
Daniel Gooi Zi Sen, 30, Pengkalan Kota, Perak
MCA:
Daniel Wa Wai How, 29, Keranji, Perak
Lee Yee Yuan, 29, Sekinchan, Selangor
Ryan Ho Kwok Cheng, 30, Damansara, Selangor
Eric Choo Wei Sern, 30, Kota Melaka, Melaka.
Yuen Chan How, 30, Tronoh, Perak
Lee Li Kuan, 30, Pokok Assam, Perak.
Bersatu:
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25, Muar, Johor
Parti Warisan Sabah:
Jo-Anna Sue Henley Rampas, 29, Kiulu
UPKO-BN:
Caesar Mandela Malakun, 28, Penampang, Sabah
Bebas:
P. Prabakaran, 22, Batu, Wilayah Persekutuan
Komen