Bukan mudah gubal akta jerebu rentas sempadan, kata menteri


Ravin Palanisamy

Malaysia akan mengalami masalah jerebu dan pencemaran udara hampir setiap kali berlakunya pembakaran terbuka di Indonesia. – Gambar EPA, 12 Oktober, 2023.

BUKAN mudah menggubal akta jerebu rentas sempadan kerana ia membabitkan kesanggupan negara jiran untuk bekerjasama, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Antara yang mengekang kita wujudkan perundangan rentas sempadan ialah ia perlu disokong dengan peta lokasi, koordinat, maklumat berkenaan pemilik tanah dan syarikat yang beroperasi di kawasan kebakaran.

“Jadi, jika negara berjiran tidak ada kesanggupan untuk wujudkan undang-undang seumpama itu, kerana ia membabitkan kedaulatan mereka, maka kita tidak akan dapat gubal akta penguatkuasaan,” katanya di Parlimen hari ini.

Nik Nazmi berkata Singapura menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan tetapi beliau mendakwa belum ada pendakwaan yang berjaya dilakukan berkenaan isu itu.

Beliau menjawab soalan (Bagan Serai-PN), yang bertanya berkenaan akta sedia ada untuk dikenakan terhadap negara yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya jerebu akibat pembakaran terbuka di Sumatera.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata pada masa ini tidak ada undang-undang khusus di Malaysia yang boleh dikuatkuasakan terhadap syarikat atau negara yang menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata kerajaan pada masa ini sedang menggunakan pendekatan diplomatik menerusi rundingan berkenaan hal itu dengan negara jiran.

“Berkaitan isu jerebu rentas sempadan yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka di Sumatera atau Kalimantan di Singapura, buat masa ini kerajaan mengambil pendekatan diplomatik kerana kami berpandangan rundingan adalah cara lebih baik untuk menangani perkara ini.

“Pencemaran jerebu rentas sempadan tidak akan dapat diselesaikan hanya dengan perundangan atau saling tuding menuding cari kesalahan.

“Kita perlu akui selain negara kita, Indonesia juga memperbaiki pendekatan mereka dalam menangani isu pembakaran terbuka di tanah pertanian baru-baru ini, termasuk warta presiden dan beberapa tindakan lain, yang berbeza daripada tindakan mereka sebelum ini,” katanya. – 12 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen