Penolakan pencalonan Tian Chua berniat jahat, kata Wan Azizah


The Malaysian Insight

PRESIDEN PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail mengatakan wujud niat jahat dalam cara penolakan permohonan Tian Chua untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu.

Katanya, PKR akan menilai penolakan permohonan itu dengan peguam mereka esok.

“Mereka (Suruhanjaya Pilihan Raya) kata boleh hantar petisyen (tentang penolakan) itu, tetapi mereka sudah tarik balik hak itu serta merta.

“Sejarah menghantar petisyen (juga menunjukkan) yang sukarnya mendapat hasil yang positif,” katanya selepas menghadiri sebuah majlis bertemu penduduk Pandan di Padang MPAJ malam ini.

Pegawai pengurus pilihan raya Anwar Mohd Zain membuat keputusan membatalkan kelayakan Tian Chua yang merupakan ahli Parlimen selama dua penggal itu kerana denda sebanyak RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Beliau sudah membuat laporan polis terhadap Anwar kerana menolak keputusan dibuat mahkamah.

Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan penamaan hari ini boleh membawa kes itu ke mahkamah.

“Biarkan ia dibawa ke mahkamah dan mahkamah yang putuskan. Kami akan mematuhi keputusan mahkamah,” katanya.

Wan Azizah dalam majlis malam ini turut menggesa penduduk Pandan menolak Barisan Nasional.

“Mereka perlu lawan dengan baik dan tidak menipu. Ini adalah negara demokrasi dan kita ada hak.

“Kita bukan hanya mahu tsunami Melayu, tetapi juga tsunami India, Cina, Kadazan dan Iban.

“Undi menentang kerajaan yang menipu rakyat,” katanya kepada sekitar 200 penduduk yang hadir pada majlis itu. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen