CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Gudang Mohamed Khaled Nordin menggesa pengundi agar tidak mempedulikan “orang luar” sebaliknya mengundi beliau yang merupakan anak jati Johor.
Khaled dalam kempen pertamanya selepas penamaan calon hari ini mendakwa pemimpin pembangkang mahupun kerajaan hanya melawat pengundi sekali-sekala, berbeza dengan dirinya yang sering mendekati pengundi Pasir Gudang.
“Sekarang banyak diperkatakan mengenai pelbagai perkara, kita (jangan) pedulikan semua itu, kita fikir (Parlimen) Pasir Gudang, (DUN) Johor Jaya, dan (DUN) Permas.
“Di Pasir Gudang, hanya bayangkan muka saya, kalau rasa saya wakili dengan baik sokonglah saya. Saya…bukan Dr Mahathir (Mohamad), bukan Najib (Razak), bukan Muhyiddin (Yassin).
“Saya rasa orang Sarawak lagi kenal saya, jadi jangan pedulikan yang lain-lain, mereka datang sekali-sekala, tetapi saya sentiasa ada dengan tuan-tuan,” katanya di hadapan kira-kira 100 warga Sarawak di Kampung Baru Plentong.
Khaled akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas manakala Tan Cher Puk akan bertanding di DUN Johor Jaya.
Khaled turut berharap warga Sarawak yang menetap dan bekerja di Pasir Gudang yang jumlahnya dianggarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 supaya mengundi beliau.
“Saya beri jaminan selagi saya wakil rakyat, saya menteri besar, saya amalkan sikap terbuka kepada masyarakat Sarawak yang berada di Johor,” katanya. – 28 April, 2018.
Komen