Peluang BN menang di Ayer Hitam jatuh mendadak


The Malaysian Insight

TIMBALAN Presiden MCA Wee Ka Siong masih menjadi perhatian dalam pertempuran dengan Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, tetapi margin kemenangan berpihak kepadanya turun mendadak.

Beberapa hari lalu, komuniti perjudian haram percaya yang Wee bakal mengekalkan kerusi Parlimen Ayer Hitamnya dengan majoriti 5,000 undi.

Tetapi semalam, perantara judi mengurangkan jangkaan majoriti itu kepada hanya 2,000 undi.

Ini bermakna sesiapa yang bertaruh ke atas Wee boleh menang jika ahli Parlimen tiga penggal itu menewaskan Liew dengan hanya lebih daripada 2,000 undi pada PRU14.

Pengurangan jangkaan itu menggambarkan perantara judi percaya peluang Wee untuk menang semakin berkurangan.

Keputusan untuk “mengurangkan” jangkaan pertaruhan adalah gambaran sentimen akar umbi di Johor. Pakatan Harapan percaya di negeri itu, kombinasi penyertaan nama besar, demografi dan isu kos sara hidup membuka peluang kepada pembangkang untuk meruntuhkan cengkaman Umno yang selama ini menjadikan negeri itu kubu kuatnya.

“Saya bertaruh ke atas Liew,” kata seorang individu yang hanya mahu dikenali dengan nama Chia berusia 57 tahun.

Katanya, perantara judi boleh menukar jangkaan kepada kemenangan Liew pada saat-saat akhir kempen sekiranya momentum perubahan yang disaksikan sejak minggu lepas berterusan.

Wu, seorang peniaga berusia 45 tahun pula berkata walaupun beliau tidak bertaruh, tindakan perantara judi mengurangkan jangkaan kemenangan Wee menggambarkan sentimen akar umbi.

“Saya percaya ada keperluan untuk perubahan dan sekarang saya menggalakkan orang untuk menjadi ejen pengundian dan pengiraan undi,” katanya.

Ayer Hitam merupakan kerusi majoriti Melayu dimenangi Wee buat pertama kali pada PRU2004 dengan majoriti undi 15,652.

Beliau menewaskan calon PAS pada dua pilihan raya selepas itu tetapi majoritinya berkurangan kepada 13,909 pada 2008 dan 7,310 pada 2013. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen