Di Langkawi, Dr Mahathir janji selesaikan masalah kaum India


The Malaysian Insight

DALAM kempen pertamanya selepas disahkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad berjanji untuk menyelesaikan masalah kaum India.

Dalam dialog bersama masyarakat India di pulau itu, pengerusi PH itu berjanji akan memastikan kaum India di Malaysia tidak dipinggirkan.

“Saya diberitahu semalam ramai orang dewasa tua banyak tiada IC kad biru tetapi IC kad merah. Kita akan cuba mereka dapatkan IC kad biru sebagai warganegara.

“Kita berjanji jika PH mendirikan kerajaan kita akan buat banyak pertukaran dan bagi perhatian rakyat miskin keturunan India,” katanya dalam ucapannya dalam program anjuran Hindraf itu.

Majlis berkenaan turut dihadiri kira-kira 200 masyarakat India. 

Bekas perdana menteri itu berkata, terdapat banyak masalah kaum India dan sekiranya PH berjaya menubuhkan kerajaan, ia akan dapat diselesaikan.

“Saya akan adakan perjumpaan dengan kaum India seperti kaum Melayu, Cina untuk dengar masalah dan cari penyelesaian. Berikan peluang pekerjaan.

“Dalam LADA tidak ada keturunan India. Saya fikir banyak anak keturunan India boleh dilatih dalam hotel mewah di Langkawi. 

“Dalam perkataan pendek kita cari peluang pekerjaan anak-anak India seperti anak Melayu, Cina. Ini janji yang boleh dibuat,” katanya diiringi dengan slogan “Hidup Tun”.– 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen