Puad tidak bertanding atas nasihat Sultan Johor


The Malaysian Insight

BEKAS ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Dr Puad Zarkashi memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 atas nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Jasa merupakan unit di bawah kerajaan yang diterajui Puad dan yang paling lantang mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad.

“Saya mengambil perhatian nasihat baginda sebagai salah seorang rakyat Johor yang setia kerana saya percaya nasihat baginda adalah berdasarkan kepentingan “Bangsa Johor”,” katanya dalam satu kenyataan menerusi whatsapp malam ini.

Bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata beliau terharu dengan panggilan daripada pemberita selepas gagal menghantar kertas pencalonan untuk bertanding pada PRU14.

Puad turut berterima kasih kepada Sultan johor atas nasihat dan panduan yang diberikan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu yang kecewa dengan parti selepas tidak dicalonkan untuk bertanding pada PRU14, meninggalkan Jasa minggu lalu dan mengancam untuk bertanding di Batu Pahat sebagai calon bebas.

Beliau turut meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah Jasa.

Menjelang hari penamaan calon, Puad berkata sistem Umno dalam memilih calon adalah “korup”.

Puad gagal mempertahankan kerusi Batu Pahat setelah tewas kepada calon PKR Mohd Idris Jusi pada PRU13.

Terdahulu, Puad dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata, beliau menghadiri majlis persandingan anak perempuannya di Bandar Baru Uda.

“Daripada melencong ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Batu Pahat, saya dan keluarga meneruskan perjalanan ke Johor Bahru untuk mengiringi anak perempuan saya Nur Hanini Mohd Puad ke majlis persandingannya di sebelah keluarga lelaki di Bandar Baru Uda hari ini.

“Jika saya menjadi calon bebas sudah tentu saya tidak akan dapat bersama dengan anak dan keluarga di majlis persandingan hari ini,” katanya. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen