Kaji selidik RUU Generasi Penamat Rokok dilancarkan di MySejahtera


Ravin Palanisamy

Inisiatif GEG akan menyaksikan pengharaman penjualan tembakau dan produk rokok kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2006. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan tinjauan atau kaji selidik untuk mendapatkan maklum balas mengenai Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat Rokok (GEG).

Boleh didapati di aplikasi MySejahtera, tinjauan itu akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia mulai hari ini.

Ia akan merangkumi pelbagai topik, termasuk pandangan orang ramai mengenai risiko kesihatan akibat merokok, peruntukan GEG dan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Mereka yang sudah mempunyai aplikasi pada telefon mudah alih perlu mengemas kininya, manakala yang lain boleh memuat turun aplikasi sama ada daripada Google Play Store atau Apple App Store.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggalakkan semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam tinjauan itu.

“Semua orang perlu memainkan peranan dan menyokong usaha kerajaan dalam membentangkan rang undang-undang ini dan peruntukan GEG dengan menyuarakan hak mereka melalui tinjauan ini serta saluran media yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Inisiatif GEG yang kontroversi akan menyaksikan pengharaman penjualan tembakau dan produk rokok kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2006.

GEG tidak akan menjejaskan perokok atau penghisap vape sedia ada tetapi akan secara efektif akan mewujudkan generasi rakyat Malaysia yang akan dilindungi daripada ketagihan nikotin dan kesan bahaya merokok sepanjang hayat mereka.

GEG adalah satu daripada peruntukan di bawah Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang sedang dimuktamadkan.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan peraturan menyeluruh semua jenis produk merokok, termasuk rokok elektronik.

Kawalan sedia ada di bawah Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2004 hanya mengawal produk merokok berasaskan tembakau. – 11 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen