Kadar keciciran sekolah menurun, kata timbalan menteri 


Ravin Palanisamy

KADAR keciciran pelajar di sekolah-sekolah negara ini menunjukkan trend menurun yang ketara sejak tiga tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Menurutnya berdasarkan perangkaan kementerian, kadar keciciran murid di sekolah rendah menurun daripada 0.12% pada 2019 kepada 0.07% pada 2022, manakala di peringkat sekolah menengah pula menurun daripada 1.14 % kepada 0.99% dalam tempoh yang sama.

“Sejak 2019 hingga 2022, di peringkat sekolah rendah, keciciran murid melibatkan Tahun 3, 4 dan 6 menunjukkan peningkatan, manakala Tahun 2 dan 5 menunjukkan tiada murid keciciran dan penurunan dalam tempoh tersebut.

“Di peringkat sekolah menengah, terdapat peningkatan kadar keciciran pelajar Tingkatan 2 dalam tempoh 2019 hingga 2022, manakala terdapat penurunan kadar keciciran membabitkan Tingkatan 3, 4 dan 5 dalam tempoh berkenaan, ” kata ahli Parlimen Tanjong itu kepada Parlimen hari ini.

Lim menjawab soalan Lee Chean Chung (Petaling Jaya-PH), yang meminta kementerian menyatakan kadar keciciran dalam sistem persekolahan dan pecahan sebab keciciran mengikut tahun, umur dan jantina dari 2019 hingga 2023.

Berdasarkan jantina, Lim berkata tiada keciciran dalam kalangan pelajar perempuan di peringkat sekolah rendah bagi tahun 2019 hingga 2022.

Beliau bagaimanapun berkata, kadar keciciran pelajar lelaki sekolah rendah menunjukkan penurunan daripada 0.16% pada 2019 kepada 0.09% pada 2022.

Sementara itu, di peringkat sekolah menengah pula, Lim berkata keciciran pelajar perempuan lebih ramai berbanding pelajar lelaki.

“Di peringkat sekolah menengah, kadar keciciran pelajar lelaki menunjukkan penurunan berbanding kadar keciciran pelajar perempuan yang meningkat dari 2019 hingga 2022.

“Pada 2019, kadar keciciran pelajar lelaki mencatatkan 0.72% berbanding 0.29% pada 2022, manakala kadar keciciran pelajar perempuan adalah pada 0.40% pada 2019 dan meningkat kepada 0.71% pada 2022,” katanya.

Lim berkata, Sistem Pangkalan Data Aplikasi Pelajar dari 2019 hingga 2023 menunjukkan antara punca pelajar tercicir termasuk tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran, (memilih) bekerja, masalah keluarga, perkahwinan dan kesukaran ke sekolah kerana faktor jarak.

Lim berkata Kementerian Pendidikan telah menjalankan program jangkauan untuk membantu pelajar yang tercicir kembali ke sekolah.

Pada tahun 2022, program ini telah berjaya mengembalikan seramai 5,121 pelajar sekolah rendah dan 1,711 pelajar sekolah menengah.

Lim berkata, kementerian sedang mengambil langkah proaktif dalam membantu pelajar termasuk mereka yang menghadapi masalah kewangan dalam memberi bimbingan dan bantuan termasuk sesi kaunseling bagi memastikan keciciran dapat dikurangkan.– 11 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen