Polis tahan hampir 1,000 orang terlibat pinjaman wang haram sejak awal 2023


Ravin Palanisamy

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan sebanyak 734 operasi sejak awal tahun bagi membendung kegiatan pinjaman wang haram dan sindiket di negara ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini.

Menerusi operasi dengan nama kod “Ops Vulture” yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dari Januari hingga Ogos tahun ini, beliau berkata seramai 898 individu ditahan, dengan 196 didakwa di mahkamah.

Shamsul berkata mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 29AA Akta Pinjaman Wang 1951.

“Fokus operasi ini adalah untuk membanteras secara menyeluruh sindiket yang terlibat dalam peminjaman wang tidak berlesen (Ah long), seperti aktiviti kutipan hutang, risalah, pengedaran risalah, (menyediakan) poster pinjaman atau sepanduk berkaitan promosi atau ikan pinjaman wang,” kata ahli Parlimen Lenggong itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh [Besut-PN] mengenai usaha kerajaan menangani isu keganasan yang disebabkan oleh Ah Long atau peminjam wang tidak berlesen.

Shamsul menambah, sebanyak 1,000 kes dilaporkan pada 2021, yang menyaksikan 1,067 individu ditahan, manakala pada 2022, sebanyak 1,262 individu ditahan daripada 1,009 kes yang dilaporkan.

Tambah Shamsul, aktiviti pinjaman wang haram dan tidak berlesen masih berleluasa di negara ini berikutan permintaan daripada masyarakat.

“(Ini kerana) tawaran daripada Ah Long lebih mudah (diperolehi) dan lebih senang berbanding yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan kewangan berlesen.

“Kesukaran yang dihadapi masyarakat untuk meminjam daripada bank dan institusi kewangan Malaysia menjadikan aktiviti Ah Long (peminjaman wang haram) berleluasa,” katanya.

Shamsul berkata kementerian melalui polis dan pihak berkuasa lain sedang berusaha keras untuk menangani isu aktiviti itu.

“Kami meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menurunkan iklan pinjaman tanpa lesen di Internet dan juga di media sosial.

“Kami juga sedang mengesan Ah Long melalui beberapa sumber termasuk nombor telefon yang pada iklan tersebut, manakala polis mengadakan kerjasama dua hala dengan syarikat telekomunikasi dan SKMM bagi mengesan suspek,” katanya. – 11 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen