DARIPADA tiga calon yang bertanding kerusi Parlimen Petaling Jaya, Selangor, hanya bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang mempunyai rancangan perubahan paling jelas.
Selain memberikan sokongan kepada manifesto kebangsaan Pakatan Harapan, Maria melancarkan manifestonya dua hari lalu yang menggariskan lima agenda yang akan diperjuangkannya di Parlimen: kerajaan bersih dan adil, gaji untuk kehidupan yang selesa, kesaksamaan dan keadilan untuk wanita, pemerkasaan belia serta pembangunan dan keadilan alam sekitar.
Bekas aktivis itu juga berjanji untuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyemak semula sistem pilihan raya Malaysia dan RCI berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan, jika berjaya ke Parlimen.
“Pakatan (Rakyat) cuba mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor dan Pulau Pinang pada 2010. Sudah tiba masanya untuk berbincang kembali tentang perkara ini,” katanya pada sidang media pelancaran manifestonya.
Katanya, masanya sudah tiba untuk kerajaan memastikan rakyat memperolehi sekurang-kurangnya gaji RM2,500 sebulan terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.
Malah, Petaling Jaya yang dipenuhi keluarga berpendapatan rendah juga terjejas dengan kadar gaji semasa untuk berdepan peningkatan kos sara hidup, katanya lagi.
Ibu tiga anak itu juga berjanji untuk memperjuangkan perubahan sistem pendidikan negara dan pusat pembelajaran terbuka untuk belia kurang bernasib baik.
Maria yang juga aktivis hak wanita turut berikrar untuk mendesak lebih banyak undang-undang menghapuskan diskriminasi gender digubal dan menyediakan lebih banyak latihan untuk mempersiapkan wanita menyertai politik.
Tokoh terkenal pergerakan masyarakat sivil itu yang bertanding menggunakan tiket PKR itu juga berjanji untuk memperjuangkan isu alam sekitar dan menentang dasar pembangunan yang membinasakan alam.
“Kita perlu ubah gaya hidup kita. Ia memakan masa tetapi ia boleh dilakukan. Sweden ambil masa hampir 20 tahun dan sekarang mencapai tahap sifar sisa,” kata Maria lagi.
Sementara itu, pesaingnya, Chew Hian Tat daripada MCA berkata sekiranya terpilih beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang kini dihadapi penduduk Petaling Jaya, membentuk lebih banyak peluang pekerjaan menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital yang diperkenalkan Perdana Menteri Najib Razak.
“PJ bandar lama, jadi kita perlu menarik lebih banyak industri (untuk menarik belia),” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon pagi tadi.
Calon PAS, Noraini Hussin pula berikrar untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mengurangkan penderitaan rakyat disebabkan peningkatan kos sara hidup.
“Ada orang yang tertekan dengan kos sara hidup sampai terfikir untuk bunuh diri. Ini adalah isu terbesar rakyat. Kami akan menaikkan cukai untuk orang kaya bagi menampung kekurangan (perolehan negara) dengan penghapusan GST,” katanya.
Petaling Jaya sebelum ini dikenali sebagai Petaling Jaya Selatan dimenangi PKR dengan majoriti undi 5,706 pada 2008 dan 19,216 pada 2013. – 28 April, 2018.
Komen