Tular berita Warisan menang bukti ia kuat, kata Shafie Apdal


The Malaysian Insight

PENULARAN berita palsu mengatakan Parti Warisan Sabah menang empat kerusi tanpa bertanding kerana ada pihak mengakui kekuatan mereka, kata presidennya Shafie Apdal.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu bermula daripada pihaknya dan menyatakan kesemua 62 calon Warisan di 45 DUN dan 17 Parlimen Sabah diterima pencalonannya dan ditandingi pelbagai pihak.

“Saya dah katakan tadi, diumumkan calon parti Warisan dan rakan kita bertanding guna logo kita di seluruh Sabah.

“Kemungkinan perkara itu viral (tular) kerana ada pihak mengaku kita kuat sehingga menganggap kita menang tanpa bertanding,” katanya sinis.

Dalam mesej yang tular di media sosial hari ini, Warisan dikatakan menang tanpa bertanding di DUN Senallang dan Bugaya serta Parlimen Likas dan Keningau setelah semua lawan mereka menarik diri termasuk dua sepupu Shafie, Nasir dan Razak Sakaran.

Sementara itu, Shafie turut dengan sinis mengulas mengenai Amanah yang memutuskan kerjasama dengan parti itu apabila bertanding menggunakan logo sendiri di Parlimen Batu Sapi dan DUN Merotai.

Beliau berkata keputusan itu tidak dibuat di peringkat tertinggi parti kerana Presiden Amanah Mohamad Sabu sudah bertemu dan bersetuju dengannya kerana parti serpihan PAS itu tidak pernah mendapat tempat di hati rakyat Sabah.

“Dia (Amanah) nak buat apa biarlah. Saya sudah nasihat Bersatu dan Amanah tak perlu bertanding. Dah nasihat. Mat (Mohamad) Sabu (pun) dah jumpa saya. Dalam sejarah PAS ini, mereka tak pernah menang di Sabah.

Amanah meletakkan calon mereka Hamza Abdullah di Parlimen Batu Sapi dan Arbaani Akum di DUN Merotai.

Hamzah bakal menentang calon Warisan, VK Liew, Norsah Bongsu (PAS) dan Tsen Thau Lin (BN).

Merotai pula akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru apabila Arbaani bakal menentang calon Warisan Sarifuddin Hata serta Ahmad Dullah (PAS), Lim Ting Khai (BN), Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon (Harapan Rakyat), Azizul Tandek (PKS) dan Mohd Nasir Sumadi (Usno). – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen