PENGERUSI Warisan Shafie Apdal berkata beliau lebih mementingkan perjuangan untuk rakyat Sabah berbanding hubungan persaudaraan selepas bersaing satu lawan satu dengan sepupunya calon Barisan Nasional, Nasir Sakaran di kerusi DUN Senallang.
Menurut Shafie, beliau sudah biasa “bertembung” dengan ahli keluarga sendiri termasuk adiknya, Yusof Apdal yang mahu mempertahankan kerusi DUN Lahad Datu untuk BN setelah tidak mengikut jalan politiknya bersama Warisan.
“Kita bertanding bukan untuk memerintah tapi membela rakyat negeri Sabah, untuk membela mereka. Saya bukan nak bela adik saya. Saya bukan nak menangkan adik saya.
“Kawan itu kawan, adik itu adik, tapi kita tahu bezakan perjuangan,” kata Shafie dalam sidang media di rumahnya hari ini.
Seorang lagi sepupu Shafie, Razak Sakaran mewakili BN bertanding menentang calon Warisan dalam pertandingan enam penjuru di kerusi DUN Bugaya.
Nasir dan Razak adalah anak kepada bekas ketua menteri Sabah, Sakaran Dandai yang juga bertanggungjawab membawa Shafie masuk ke arena politik sejak awal 1990-an.
Dalam pada itu, Shafie turut menyindir Ketua Menteri Sabah Musa Aman.
“Saya bukan BN, mahu bukan saja adik (tetapi) anak, besan dan menantu turut bertanding,” katanya.
Musa bakal mempertahankan DUN Sungai Sibunga, manakala adiknya Menteri Luar sementara Anifah Aman mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis.
Anak Musa yang juga pengerusi BN Sabah Yamani Hafez akan membuat penampilan pertama apabila dicalonkan di Parlimen Sipitang.
Menantu Musa pula, Mohd Ariffin Mohd Arif – suami kepada anak perempuan tunggalnya – akan mempertahankan kerusi DUN Membakut. – 28 April, 2018.
Komen