PILIHAN Raya Umum ke 14 akan menyaksikan pertandingan berbilang penjuru di seluruh negara berikutan penamaan calon hari ini dalam pertandingan di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri, satu senario yang sudah dijangka dari awal lagi selepas PAS mula berpecah daripada pakatan pembangkang dan enggan menyertai Pakatan Harapan.
Malah, kubu kuat perdana menteri sementara Najib Razak di Pekan, yang dipertahankannya menerusi pertemuan satu lawan satu sejak 1976 kecuali pada satu penggal, akan menyaksikan pertembungan empat penjuru buat pertama kalinya. Najib tidak bertanding di Pekan ketika menjadi menteri besar Pahang pada 1982.
Berikut adalah senarai kerusi Parlimen yang membabitkan nama besar dalam arena politik yang akan bertanding pada perlawanan berbilang penjuru pada PRU4:
PEKAN
Pekan, buat pertama kalinya akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Najib akan menentang Zahid Mat Arip dari Bersatu, Pesuruhjaya PAS Pahang Ahiatudin Daud dan calon bebas Abdul Kadir Haji Sainudin.
Najib mempertahankan kerusi ini pada PRU13 dengan 51,278 undi.
PANDAN
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berdepan pertandingan lima penjuru di kerusi ini. Beliau menggantikan penyandangnya, naib presiden parti itu Rafizi Ramli, yang memilih untuk tidak bertanding kerana berdepan hukuman penjara 30 bulan kerana membocorkan maklumat perbankan membabitkan National Feedlot Corporation. Rafizi mengekalkan kerusi itu pada 2013 dengan 27,769 undi.
Dr Wan Azizah akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) Leong Kok Wee, calon PAS Mohamed Shukiri Omar, calon Parti Rakyat Malaysia Jenice Lee Ying Ha dan calon bebas Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
BAGAN
Bagan akan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara penyandangnya, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, yang akan menentang ketua Pemuda MCA Pulau Pinang Lee Beng Seng, calon Parti Cinta Malaysia (PCM) iaitu naib presidennya Huan Cheng Guan, calon PRM dan seorang lagi calon dari Malaysian United Party (MUP).
Lim, yang juga ketua menteri sementara Pulau Pinang, menyandang kerusi Bagan tujuh penggal lalu sejak 1986, kini berdepan dengan dakwaan berhubung projek terowong bawah laut dan juga pembelian banglo di bawah harga pasaran.
GOMBAK
Menteri besar sementara Selangor dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali akan berdepan dengan calon BN dan PAS bagi mempertahaknkan kerusi Parlimen yang disandangnya itu.
Azmin yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa, akan berdepan perlawanan lima penjuru yang turut membabitkan adiknya, Azwan Ali yang bertanding sebagai calon bebas. Azwan dan Azmin telah sekian lama berbeza pendapat. Selain adiknya, Azmin juga akan berdepan dengan calon BN, PAS dan PRM di Bukit Antarabangsa.
SUNGAI SIPUT
Pengundi di Sungai Siput perlu memilih dari empat calon selain penyandangnya Dr Michael Jeyakumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). PSM yang merupakan sehaluan dengan Pakatan Harapan walaupun bukan ahli pakatan itu, sudah lama berharap untuk mengelakkan pertembungan dengan sekutunya.
Tetapi Dr Jeyakumar akan berdepan calon PKR S. Kesavan, selain calon MIC iaitu timbalan presidennya SK Devamany dan calon PAS Dr Ishak Ibrahim.
70% pengundi di Sungai Siput terdiri daripada pengundi India dan Cina manakala pengundi Melayu kekal 30%. Parlimen itu mempunyai 55,002 pengundi.
LANGKAWI
Pemimpin Bersatu dan pengerusi Pakatan Harapan berusia 93 tahun Dr Mahathir Mohamad akan berdepan pertembungan tiga penjuru di Langkawi dengan penyandangnya Nawawi Hassan dari BN dan Zubir Ahmad dari PAS.
Bekas perdana menteri itu perlu menutup jurang 11,861 undi - margin kemenangan Nawawi pada 2013 menentang calon PKR.
Bekas perdana menteri itu kembali menyertai politik selepas 15 tahun, dan akan bertanding di bawah logo PKR, simbol parti bekas musuhnya Anwar Ibrahim yang dipecat oleh beliau ketika menjadi timbalan perdana menteri pada 1998.
SEMPORNA
Ini merupakan tempat asal presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal yang dipertahankannya enam penggal berturut-turut. Namun Shafie, yang kini merupakan musuh Umno dan perdana menteri sementara Najib Razak, akan bertanding dalam pertandingan empat penjuru. Parti Warisannya dikatakan akan mengubah rakyat Sabah terhadap kerajaan.
Beliau akan berdean dengan calon BN Ramlee Marhaban dan calon Pakatan Harapan serta calon PAS.
Shafie juga buat pertama kali karier politiknya akan bertanding di kerusi DUN Senallang di mana beliau akan berdepan dengan sepupunya Nasir Sakaran dan calon Pakatan Harapan dalam pertandingan tiga penjuru.
LEMBAH PANTAI
Calon BN Raja Nong Chik Raja Zainal akan cuba merampas kembali kerusi ini daripada calon PKR yang bertanding buat pertama kali Fahmi Fadzil yang mempertahaknkan kerusi yang disandang oleh Nurul Izzah Anwar sejak dua penggal lalu.
Raja Nong Chik dikenali bekerja hingga ke akar umbi di Lembah Pantai, menjadikan kehadiran dirasai di kalangan penduduk walaupun kalah kepada Nurul Izzah pada tahun 2013.
Ia akan menjadi satu cabaran buat Fahmi yang selain berdepan dengan Raja Nong Chik, juga akan berdepan calon PAS.
PERMATANG PAUH
Nurul Izzah berpindah untuk mempertahankan kerusi ini yang disandang oleh bapanya Anwar Ibrahim dan kemudian ibunya, Dr Wan Azizah selepas Anwar dipenjarakan.
Beliau akan berdepan peryandngan tiga penjuru dengan calon BN dan PAS
BAGAN DATUK
Timbalan perdana menteri sementara Ahmad Zahid Hamidi akan mempertahankan kerusi ini dalam pertandingan tiga penjuru menentang PAS dan PKR.
Zahid yang mengekalkan kerusinya dengan 17,176 undi pada 2013 bertanding di kerusi itu sejak 1995, menjadikan ini merupakan kali keenam beliau mempertahankan kerusi itu untuk BN. – 28 April, 2018.
Komen