CALON PKR Zamri Yusof berkata beliau mendapat keyakinan baharu kali ini untuk menewaskan menteri besar BN di kerusi baharu, Suka Menanti di Kedah selepas gagal dalam dua percubaan sebelum ini.
Dalam PRU12, pengerusi PKR Kedah itu tewas ketika menentang menteri besar ketika itu, Mahdzir Khalid dengan majoriti kira-kira 2,700 undi di DUN Pedu.
Dalam pilihan raya berikutnya, beliau sekali lagi tewas ketika menentang menteri besar Ahmad Bashah Md Hanifah di DUN Bakar Bata.
“Saya kalah kerana persaingan ketika itu sangat sengit, ia bukan kerusi yang senang, tapi kali ini kita punya keyakinan,” kata Zamri yang juga bekas senator PKR.
Kerusi Bakar Bata kini dikenali dengan nama Suka Menanti, dengan pertambahan pengundi dari 28,186 kepada 31,292 orang susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Kerusi tersebut dikenali sebagai antara kubu kuat BN, yang dipertahankan oleh Ahmad Bashah sejak 1999.
Bagaimanapun pada PRU13, Ahmad Bashah hanya berjaya menang tipis di DUN tersebut dengan meraih 11,999 undi berbanding calon PKR, Mohd Eekmal Ahmad yang mendapat 11,104 undi.
Sementara itu, calon PAS Mohd Sabri Omar berkata meskipun seorang calon baharu, beliau tidak gentar untuk menentang Ahmad Bashah di Suka Menanti.
“Walau tidak mempunyai pengalaman tapi tidak menggoyahkan saya,” kata usahawan tersebut.
Katanya, beliau mendapat sokongan yang cukup kuat dari akar umbi PAS kawasan itu.
“Ketika ini agenda saya banyak tertumpu kepada manifesto PAS Kedah, dan akan ada nanti yang kita umumkan,” katanya. – 28 April, 2018.
Komen