BARISAN Nasional (BN) Segambut memastikan kehadiran ramai “penyokong” bagi menyertai perarakan Loga Bala Mohan, calon kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ke pusat penamaan calon dengan menyediakan sarapan, beg cenderamata dan baju secara percuma.
Hampir lapan bas dipenuhi penyokong muda dan tua membanjiri Jalan Beringin, Bukit Damansara, tempat perhimpunan calon BN itu sebelum berarak ke pusat penamaan calon.
Penyokong yang kelihat terdesak untuk mendapatkan barangan percuma itu, malah ada yang berasak-asak merebutnya.
Sementara itu, Hannah Yeoh yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) pula berhimpun dengan penyokongnya di Pusat Sains Negara dan berarak sejauh 2km ke pusat penamaan calon. Calon PAS Mohd Solleh Ab Razak pula berkumpul bersama pengikutnya di Jalan Chemperai, Bukit Damansara.
“Kami dapat laluan sukar. Laluan itu ditetapkan kepada kami oleh polis dan perlu naik turun bukit tetapi penduduk di sini menyertainya dan kami seronok berjalan,” kata Hannah.
Keputusan polis untuk menutup sebahagian jalan juga menimbulkan kemarahan penduduk kerana mereka terpaksa melalui laluan alternatif untuk ke rumah sendiri.
Seorang warga emas yang enggan dinamakan bertekak dengan anggota polis bertugas kerana tidak dibenarkan melintasi pusat penamaan calon untuk pulang ke rumahnya. Walaupun begitu, selepas 10 minit beliau diiringi polis bertugas menuju ke rumahnya.
Kerusi Parlimen Segambut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Loga (BN), Hannah (PH) dan Solleh (PAS). – 28 April, 2018.
Komen