Najib janjikan tambahan insentif petani jika BN menang


The Malaysian Insight

JIKA Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), perdana menteri sementara Najib Razak berjanji untuk memberikan peruntukan tambahan kepada petani.

Beliau berkata sebaik sahaja keputusan diumumkan nanti, petani padi akan mendapat bonus yang mana telah diperuntukkan di bawah Kementerian Pertanian.

“Saya telah meminta supaya Kementerian Pertanian menyediakan beberapa pilihan, supaya pada malam itu (9 Mei) saya akan umumkan kadar tambahan untuk petani padi,” katanya dalam ucapan semasa mengadakan pertemuan dengan petani di Pekan.

Ini merupakan ucapan pertama Najib selepas dibenarkan secara rasmi untuk memulakan kempen hari ini.

Beliau merayu agar pengundi Pekan memberi mandat untuk BN memerintah lagi bagi membawa lebih kemakmuran kepada negara.

“Apa yang kami minta adalah mandat untuk lima tahun lagi, lima tahun akan datang akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Pilihan raya ini akan menentukan masa depan negara Malaysia yang dicintai. Masa depan rakyat Malaysia bergantung kepada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berjanji untuk memberi peruntukan kewangan selama tiga bulan kepada petani padi yang keseluruhan berjumlah RM600.

Najib juga berjanji akan memberikan RM2,500 kepada mangsa banjir di kawasan Pekan.

“Kadarnya adalah RM2,500 untuk setiap seorang. Jika ditambah dengan RM600, ia bermakna setiap seorang akan terima RM3,100,” katanya sambil menambah yang wang itu akan dibayar terus ke akaun bank individu atau secara tunai.

Oleh kerana petani sering dipinggirkan, Najib berkata pengagihan kekayaan secara sama rata harus dilaksanakan.

“Petani padi paling memerlukan bantuan. Saya mahu setiap orang mencapai kemajuan. Konsep pengagihan kekayaan harus dipatuhi,” katanya.

Beliau turut menegaskan jika pengundi Pekan tidak memilih BN, mereka akan kehilangan pelbagai keistimewaan yang diterima seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana berjumlah RM2,000 tahun ini.

“Jika anda mahukan BR1M, kami adalah pilihannya. Pembangkang kutuk BR1M sebagai dedak tetapi dalam manifesto mereka ada BR1M. Mereka banyak buat U-turn,” kata Najib. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen