Polis Peru selamatkan warga Malaysia, Taiwan ditahan penjenayah


43 warga Malaysia dan seorang dari Taiwan ditangkap oleh kumpulan penjenayah dari Taiwan di Peru. – Gambar AFP, 10 Oktober, 2023.

POLIS di Peru menyelamatkan 44 orang dari Asia yang ditangkap oleh pertubuhan penjenayah Taiwan yang menggunakan mereka dalam skim peras ugut di negara Amerika Selatan itu, kata pegawai di Lima semalam.

Warga asing itu terpaksa membuat panggilan kepada syarikat di Malaysia dan Taiwan untuk menuntut wang sambil menyamar sebagai pegawai polis atau pihak berkuasa, ketua unit siasatan penyeludupan rakyat, Jeneral Carlos Malaver memberitahu AFP.

Daripada mereka yang diselamatkan dalam operasi yang dijalankan di pinggir bandar Lima pada hujung minggu, 43 adalah dari Malaysia dan seorang dari Taiwan, katanya. Mereka bekerja hanya pada waktu malam dan hidup dalam keadaan sempit, hanya diberi makan sekali sehari.

Enam warga Taiwan dan dua warga Peru telah ditangkap.

Mereka memasuki Peru pada bulan September, terpikat melalui rangkaian sosial dengan janji bekerja di kasino di ibu negara. Mereka memberitahu penyiasat mereka dibawa ke Amsterdam di Belanda dan kemudian ke Peru.

Setibanya di sana, anggota kumpulan jenayah Taiwan dikenali sebagai Naga Merah mengambil pasport mereka dan menghalang mereka daripada berkomunikasi dengan saudara-mara, kata polis.

Operasi polis dilakukan selepas dua wanita berjaya melarikan diri dan memaklumkan pihak berkuasa.

Penyiasat merampas lebih AS$10,000 (RM47,300), berpuluh-puluh telefon bimbit dan kad bank dari rumah di mana warga asing itu ditahan. – AFP, 10 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen