TIAN Chua boleh memfailkan petisyen di mahkamah mempertikaikan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu, lapor The Star.
Pengerusi SPR, Mohd Hashim berkata masih terlalu awal untuk memutuskan bahawa naib presiden PKR itu tidak boleh bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 kerana perkara itu belum diputuskan oleh mahkamah.
“Biarkan ia dibawa ke mahkamah dan mahkamah yang putuskan. Kami akan mematuhi keputusan mahkamah,” kata Mohd Hashim.
Tian Chua ditolak pencalonannya atas dakwaan hilang kelayakan bertanding ekoran keputusan mahkamah yang mengenakan denda RM2,000 ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac lepas.
Sementara itu, Mohd Hashim berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada pegawai pengurus pilihan raya bagi kerusi DUN Rantau berhubung kedudukan calon PKR, S Streram yang disekat daripada masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak berkuasa.
Katanya, calon berkenaan juga boleh mengemukakan petisyen di mahkamah sekiranya tidak berpuas hati.
Menurut Mohd Hashim, 11 calon dibatalkan pencalonan mereka atas beberapa alasan.
Selepas tempoh pencalonan ditutup pada pukul 11 pagi tadi, hanya sebuah kerusi dimenangi tanpa bertanding iaitu DUN Rantau oleh calon BN yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan. – 28 April, 2018.
Komen