TIMBALAN Presiden Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng menyeru supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP dan akan mempertahankan kerusi parlimen Bagan dan Air Bagan di Pulau Pinang, berkata SPR setakat ini gagal bertindak demikian.
“Setakat ini kita telah lihat SPR tidak bebas dan adil. Kita menentang kegagalan ini supaya pilihan raya dijalankan dengan betul. Ini satu penghinaan terhadap proses pilihan raya.
“SPR tidak boleh bertindak berat sebelah terhadap pembangkang. Setakat ini, nampaknya pembangkang yang dihukum. Kita tidak boleh benarkan double-standard. Kita mahu pilihan raya yang bersih,” kata Lim selepas penamaan calon pilihan raya ditutup petang ini.
PH yang selama ini kritikal terhadap SPR, sebelum ini telah menuduh suruhanjaya itu bertindak berat sebelah dalam proses persempadanan semula yang memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan SPR.
Ketika penamaan calon pagi tadi, beberapa calon PH di seluruh negara termasuk Naib Presiden PKR Chua Tian Chang (atau Tian Chua), hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya. Chua hilang kelayakan berikutan denda RM2,000 yang dikenakan ke atas beliau pada bulan lalu, meskipun denda sama pada 2010 tidak membatalkan kelayakan beliau bertanding pada PRU13.
Calon PH Pulau Pinang bagi kerusi DUN Penaga di Kepala Batas, Yaakob Osman dari Bersatu juga hilang kelayakan selepas SPR mengatakan beliau muflis. Yaakob menafikan perkara itu dan berkata berdasarkan semakan yang dilakukannya semalam menunjukkan beliau bebas dari status muflis.
Walaupun Pulau Pinang dilihat sebagai negeri selamat bagi PH yang dipimpin DAP, kebanyakan kerusi parlimen dan DUN di negeri itu menyaksikan pertandingan berbilang penjuru, dengan PAS dan beberapa parti kecil turut bertanding.
“(Banyak calon bertanding) sebahagian daripada demokrasi. Hari penamaan calon adalah hari kita meraikan hak rakyat memilih pemimpin yang mereka kehendaki,” kata Lim.
“Kita mengalu-alukan semua orang mengambil bahagian dalam pilihan raya, tetapi SPR mesti menjalankannya secara bebas dan adil.”
Lim akan berdepan empat lawan - dari BN, Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Bersama Malaysia (MU) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) - di Bagan, dan cuba untuk memenanginya untuk penggal ketiga.
Di Air Putih, Lim akan menentang calon dari BN, PRM dan PCM. – 28 April, 2018.
Komen