Mukhriz dianggap orang luar dalam kempen 'Jerlun untuk Jerlun' BN


The Malaysian Insight

MEMPERTARUHKAN tema kempen ‘Jerlun untuk Jerlun’, jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen itu yakin dapat mempertahankannya, sambil meremehkan pencabarnya yang merupakan bekas ahli Parlimen berkenaan dan menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir yang dianggap sebagai ‘orang luar’.

Ketua Penerangan Siputeh Ahmad Zailani Mat Zin, 51, berkata jentera pilihan raya akan terus berkerja keras dalam usaha untuk menghalang Mukhriz memenangi semula kerusi itu untuk kali kedua.

“Kami tidak terlalu suka dia kerana dia bukan dari Jerlun. Jerlun untuk Jerlun dan semua calon untuk kerusi Parlimen dan negeri adalah anak jati Jerlun.

“Calon kami tahu orang Jerlun dan prinsip mereka,” katanya kepada Malaysia Decides.

Mukhriz, yang kini merupakan calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) itu akan berdepan penyandangnya Othman Aziz dan Ketua PAS Jerlun Abd Ghani Ahmad.

Othman, 59, yang merupakan penganti Mukhriz bagi kerusi tersebut, memenanginya dengan majoriti 3,270 mengalahkan calon PAS Ismail Salleh pada PRU13.

Sementara itu, seorang ahli Umno Mohd Zaini Said, 55, mengimbas kembali waktu semasa Mukhriz mewakili kerusi tersebut, dengan mendakwa yang anak bongsu bekas perdana menteri Mahathir Mohamad itu tidak turun padang untuk memahami isu setempat.

“Kami percaya mampu untuk pertahankan kerusi ini dengan pertambahan majoriti, kerana BN Jerlun telah berkerja keras di peringkat akar umbi sejak beberapa tahun.

“Orang tua menghormati beliau, tetapi sekarang mereka nampak yang dia menyertai pasukan dengan DAP, jadi yang sebelum ini mengagumi dia telah beralih sokongan untuk menyokong Umno semula,” katanya.

Jerlun mempunyai 54,132 pengundi dengan 61% daripadanya adalah berusia di bawah 40 tahun.

Sayap Pemuda Umno Jerlun Ghazali Ibrahim berkata Mukhriz bukan watak berpengaruh dalam kalangan penduduk kampung, ekoran kurang turun padang semasa menjadi ahli Parlimen.

“Dia tidak menetap di sini pun semasa menjadi wakil rakyat kami, dia orang luar, tidak seperti tiga calon lain,” katanya yang merujuk Othman dan dua lagi calon untuk kerusi negeri di bawah Jerlun iaitu Ahmad Azhar Abdullah (Kota Siputeh) dan Abu Hasan Sarif (Ayer Hitam). – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen