PILIHAN Raya Umum ke 14 (PRU14) menyaksikan beberapa nama besar dalam dunia politik dan parti digugurkan daripada bertanding atas pelbagai sebab.
Ada yang memberi laluan kepada muka baharu. Salah seorang daripadanya adalah veteran MCA dan menteri kabinet yang juga setiausaha agung parti Ong Ka Chuan yang diketepikan di kerusi Tanjung Malim. Seorang lagi adalah presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Joseph Kurup yang juga ahli Parlimen Pensiangan dan menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang memberi laluan kepada anaknya Arthur Joseph Kurup.
Ahli Parlimen Kepong dari DAP Dr Tan Seng Giaw, 75, pada awalnya mahu mempertahankan kerusi yang disandangnya namun kemudiannya menerima keputusan parti untuk menggugurkannya. Kubu kuat pembangkang itu akan ditandingi oleh penyandangnya, Lim Lip Eng.
Satu lagi nama besar yang akan hilang daripada Parlimen adalah Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang terkenal kerana pendedahan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC). Disabitkan bersalah kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana membocorkan maklumat bank berkenaan NFC, Rafizi dibenarkan untuk menangguhkan hukuman bagi proses rayuan, tetapi naib presiden PKR itu membuat keputusan untuk tidak mempertaruhkan pencalonannya.
Dalam Barisan Nasional, keputusan untuk tidak menurunkan Presiden MyPPP M. Kayveas di Cameron Highlands dan ahli Umno Puad Zarkashi di Batu Pahat menyaksikan mereka meletakkan jawatan. Kayveas melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai presiden, manakala Puad yang sebelum ini merupakan ahli Parlimen Batu Pahat yang tewas pada PRU13, meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
Seorang lagi tokoh BN yang digugurkan adalah penyandang kerusi Sepanggar, Jumat Idris, yang digantung oleh Umno kerana mengkritik Ketua Menteri Sabah Musa Aman. Kerusi itu akan ditandingi oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan. – 28 April, 2018.
Berikut merupakan ahli Parlimen yang tidak bertanding pada PRU14:
Pakatan Harapan
1. Tan Kee Kwong, PKR, Wangsa Maju, 2013-2018
2. N. Surendran, PKR, Padang Serai, 2013-2018
3. Kamarul Baharin Abbas, PKR, Teluk Kemang, 2008-2018
4. Mohd Idris Jusi, PKR, Batu Pahat, 2013-2018
5. Rafizi Ramli, PKR, Pandan, 2013-2018
6. Tan Seng Giaw, DAP, Kepong, 1982-2018
7. Jeff Ooi, DAP, Jelutong, 2008-2013
Barisan Nasional
1. Isa Samad, Umno, Jempol, 2004-2008, 2013-2018
2. M.Kayveas, former MyPPP President
3. Puad Zakarshi, Umno, Batu Pahat, 2007- 2013
4. Ong Ka Chuan, MCA, Tanjung Malim, 2008-2013
5. Jumat Idris, Umno, Sepanggar, 2013-2018
6. Joseph Kurup, PBRS, Pensiangan, 2008-2018
7. Raimie Unggi, Umno, Tenom, 2004-2018
PAS
1. Baihaqi Atiqullah, PAS, Kubang Kerian, 2013-2018
2. Nik Mazian Nik Mohamad, PAS, Pasir Puteh, 2013-2018
Komen