SPRM siasat syarikat di Kedah tipu bekalan beras


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM bongkar kegiatan penipuan sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah yang menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makan ruji di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2023.

AGENSI anti rasuah berjaya membongkar kegiatan penipuan sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah yang menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makan ruji di negara ini.

Menurut sumber, syarikat terbabit mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan kontrak berkenaan, syarikat itu membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta sebagai pembiayaan projek tersebut beberapa tahun lalu.

“Pengarah syarikat itu berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun bernilai lebih RM100 juta namun pembekalan tersebut tidak dibuat.

“Syarikat tersebut dikatakan menerima amaun kira-kira RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, suspek itu mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu kepada bank untuk proses permohonan pembiayaan pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan berkaitan siasatan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 9 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen