EDISI baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal diadakan di kem tentera dan pusat latihan polis dengan kos tidak lebih RM100 juta, kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.
Katanya, tempoh program tersebut juga lebih singkat pada kali ini dengan memakan masa selama 45 hari dengan modul yang fokus kepada aspek ketenteraan.
Program mensasarkan 20,000 pelatih setahun itu bagaimanapun tidak sama dengan program kerahan tenaga yang dijalankan di Korea Selatan dan Singapura, katanya.
Jelasnya, program baharu ini dirancang melibatkan dua fasa – pertama bagi pelajar sekolah berusia 16 tahun ke atas melalui pemerkasaan badan beruniform dan kedua selepas tamat persekolahan.
“Program ketatanegaraan itu sudahpun (dilaksana sewaktu) di sekolah. Fasa kedua ini lebih kepada (latihan) tentera supaya jati diri lebih kuat dan tenaga yang sihat. Sebanyak 90% ketenteraan dan 10% kenegaraan.”
Tambahnya, agensi keselamatan seperti bomba, tentera dan polis akan dapat menilai keupayaan pelatih tersebut sebagai persediaan guna tenaga bagi diserapkan dalam perkhidmatan.
Oleh itu, belia yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti ini sudahpun terlatih menjadi tenaga kerja dalam perkhidmatan keselamatan, kata ahli Parlimen Rembau itu.
“Tenaga pelatih pun sudah ada (dari kalangan) tentera jadi kurang kos. Kalau dulu kita belanja lebih RM500 juta setahun, kali ini kertas kerja (tunjukkan) perbelanjaan tak lebih RM100 juta,” katanya.
Mohamad turut ditanya ahli Dewan mengenai status kem PLKN diusahakan pemilik swasta yang terbengkalai pada waktu ini.
Beliau berkata para pemilik kem tersebut sudahpun mengemukakan saman ke atas kerajaan.
Seramai 62 pemilik berkenaan muflis selepas program yang dimulakan pada 2004 dimansuhkan pada 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya.
Selain PLKN, pentadbiran PH turut memansuhkan program Biro Tatanegara.
Menurut Mohamad, rancangan untuk menghidupkan semula PLKN hasil kajian semula yang dijalankan jemaah menteri pada 2021. – 9 Oktober, 2023.
Komen