Peluang 50-50 di Iskandar Puteri, kata pengundi


The Malaysian Insight

YEONG (bukan nama sebenar), 67, selama ini menjadi penyokong DAP tetapi kali ini, beliau tidak yakin jika undinya akan dapat membantu calon DAP yang juga veteran parti itu, Lim Kit Siang mempertahankan kerusinya di Iskandar Puteri.

Katanya, peluang “50-50”.

“Ini kawasan Boo Cheng Hau. Dia menang beberapa kali. Kemudian sesuatu berlaku. Jadi sekarang saya tidak tahu. PAS juga bertanding kerusi DUN Skudai (untuk pecahkan undi). Kita lihat sajalah nanti,” katany,

Boo ialah bekas ketua DAP Johor dan mempunyai hubungan kuat dengan akar umbi tetapi digugurkan sebagai calon oleh partinya sendiri. Beliau Adun Skudai selama dua penggal.

Bekas Adun Mengkibol, Tan Hong Pin bertanding di kerusi Skudai pada PRU14.

Skudai salah satu kerusi DUN di kawasan Parlimen Iskandar Puteri, selain Kota Iskandar.

DAP menampilkan penyandangnya Lim untuk bertanding di Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah, menentang Pengerusi MCA Johor Jason Teoh Sew Hock.

Chua, 55, yang juga pengundi di kawasan itu berkata tidak tahu siapa yang harus dipilih kali ini.

Katanya, apa yang paling penting ialah untuk mencari sesuap nasi.

“Cari makan dulu, kemudian kita cakap tentang siapa yang hendak diundi,” katanya.

Priscilla berkata beliau tidak tahu lagi siapa yang akan dipilih.

“Saya tidak mahu berkongsi pandangan saya tentang siapa yang akan dipilih,” katanya.

Terdapat 138,299 pengundi berdaftar di Iskandar Puteri. Kira-kira 70,000 pengundi Cina, diikuti Melayu, India dan kaum lain di Malaysia. – 28 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen